Isnin, 11 Jun 2018

Upko Akan Jadi 'Jambatan' SCC Kepada Kerajaan


KOTA KINABALU : Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) bercadang untuk bertindak sebagai 'jambatan' kepada gereja-gereja di Sabah bagi menyampaikan suara mereka kepada kerajaan baharu.

Pemangku Presiden Upko, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pendekatan itu akan membolehkan gereja-gereja menyampaikan isu-isu berkaitan kepada kerajaan dengan lebih jelas.

"Perjumpaan dengan Majlis Gereja-gereja Sabah (SCC) adalah satu permulaan di mana kita mendengar dan berkongsi pandangan terhadap beberapa polisi dan pengumuman yang telah dilakukan oleh kerajaan sekarang.

"Kita ingin mendapatkan maklum balas atau pandangan daripada SCC berkaitan dengan pengumuman yang telah dilakukan itu," katanya ketika ditemui selepas mengadakan Mesyuarat Khas berama SCC di sini pada malam Jumaat.

Beliau berkata Upko bersedia untuk mendengar seterusnya menjadi 'jambatan' kepada SCC kepada kerajaan. 

"Kami (Upko) gembira untuk memainkan peranan itu bagaimanapun masih terdapat beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengan lebih lanjut dengan Ketua Menteri," katanya.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, perbincangan dengan ketua-ketua gereja perlu dilakukan khususnya berkaitan beberapa perkara seperti cara terbaik bagi membantu gereja di Sabah.

Katanya, sesetengah ketua gereja di negeri ini berpendapat kerajaan negeri boleh menyalurkan dana bantuan secara terus kepada pihak rumah ibadat itu berbanding menyalurkan menerusi jabatan kerajaan.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Presiden SCC Bishop Datuk Melter  Jiki Tais.

(Diambil daripada artikel Utusan Borneo Online bertajuk, "Upko Akan Jadi 'Jambatan' SCC Kepada Kerajaan" yang ditulis oleh Yap Siong Han bertarikh 10 Jun 2018)