Jika anda ingin melihat bangunan-bangunan agama yang benar-benar mengkagumkan, Rusia adalah tempat yang anda harus pilih untuk kunjungan anda seterusnya. Sepanjang lebih seribu tahun, orang-orang Rusia telah rela berbelanja untuk membina bangunan-bangunan ibadah yang menakjubkan. Memilih hanya 8 adalah tidak mudah, tetapi inilah gereja-gereja yang paling cantik di Rusia.
Kathedral Smolny, St Petersburg
Kathedral Smolny di St Petrsburg |
Salah satu gereja paling cantik di St Petersburg, Kathedral Smolny telah diarah pembinaannya oleh Ratu Elizabeth, yang merancang untuk bersara di situ. Asalnya direka bentuk oleh Francesco Bartolomeo Rastrelli, arkitek Itali yang telah menghasilkan beberapa mercu tanda utama St Petersburg termasuk Grand Palace of Peterhof, bangunan biru putih yang tersergam indah ini mengambil masa hampir seabad untuk dibina.
Kathedral Assumption di Smolensk |
Kathedral hijau putih di atas bukit yang cantik ini telah dibina pada 1772 untuk merayakan kemenangan ke atas Komanwel Poland-Lithuania. Kathedral itu dibina di tempat gereja kuno yang telah dimulakan pada 1101 oleh Vladimir Monomakh sendiri, dan telah mengambil masa satu abad untuk selesai pembinaannya.
Gereja Transfiguration di Kizhi
Gereja Transfiguration di Kizhi |
Walaupun bangunan karya agung kayu kurun ke-18 ini terletak di sebuah pulau kecil Kizhi, ianya masih menarik ramai para pelancong. Karya arkitek yang tak ternilai indahnya di Tasik Onega dan gereja kayu tercantik di Rusia, struktur bangunan 37 meter ini dibuat sepenuhnya daripada kayu. Lagenda menyatakan seorang tukang kayu bernama Nestor telah membinanya dengan menggunakan sebilah kapak dan tanpa menggunakan paku, dan apabila dia selesai membinanya, telah membaling kapak itu ke dalam Tasik Onega untuk memastikan tiada orang yang dapat mengatasi hasil ciptaannya.
Kathedral Annunciation di Moscow
Gereja Annunciation di Moscow |
Kathedral Annuciation telah dibina oleh arkitek-arkitek dari Pskov pada 1884-1849 sebagai sebahagian daripada rancangan Ivan ke-III untuk pengubahsuaian besar-besaran Kremlin Moscow. Ianya terletak di barat daya Dataran Kathedral di Kremlin Moscow, di mana ianya bersambung terus dengan bangunan utama kompleks Istana Besar Kremlin. Ianya asalnya adalah rumah ibadah peribadi untuk tsar-tsar (raja-raja) Muscovite, dan ketua biaranya telah menjadi pembimbing peribadi keluarga di raja sehingga awal abad ke-20.
Gereja St Sophia di Veliky Novgorod
Gereja St Sophia di Veliky Novgorod |
Dibina di antara 1045 sehingga 1050 Tahun Masihi oleh penakluk-penakluk Kiev dan Byzantine, gereja berkubah lima ini adalah kathedral tertua yang masih berfungsi di Rusia. Salah satu tarikan pelancong yang utama di bandar itu, kathedral yang agak ringkas ini merupakan satu-satunya bangunan batu di kota itu semasa pembinaannya.
Kathedral St Basil di Moscow
Kathedral St Basil di Moscow |
Daripada lebih 1,000 gereja dan kathedral di Moscow, Kathedral St Basil boleh dikatakan yang paling dikenali. Terletak di tengah-tengah pusat Moscow, kathedral itu bukan sahaja gereja paling cantik di Rusia, tetapi juga salah satu rumah ibadah paling mengkagumkan di dunia. Diarahkan pembinaannya oleh Ivan the Terrible, tapak warisan UNESCO ini mempunyai 11 kubah berwarna-warni dan bahagian dalaman yang cantik.
Kathedral Resurrection di Istra
Kathedral Resurrection di Istra |
Sebahagian daripada corak seni bina New Jerusalem Monastery, kathedral bercorak baroque ini telah diarahkan pembinaannya pada 1656 oleh Patriarch Nikon. Nikon telah memilih kawasan luar bandar Moscow kerana kesamaan pemandangannya dengan Tanah Suci, itulah sebabnya rekabentuk kathedral itu menyerupai Kathedral Resurrection di Yerusalem. Ini adalah salah satu daripada tempat kudus yang dirancang di kawasan luar bandar Istra, yang akan mencerminkan tapak-tapak suci di Palestin.
Kathedral Kazan di St Petersburg
Kathedral Kazan di St Petersburg |
Dibina pada 1811, Kathedral Kazan telah direka bentuk menyerupai Kathedral St Peter di Rum. Kathedral ini paling dikenali dengan pemandangan Utaranya yang bergaya Empire dengan sembilan puluh enam tiang, setinggi 13 meter (42.6 kaki) yang diatur dalam separuh bulatan. Selain daripada menjadi salah satu gereja yang paling cantik di negara ini, kathedral ini juga adalah contoh hidup sejarah Rusia. Dataran di hadapan bangunan itu telah digunakan untuk acara dan perarakan umum.
Sebenarnya banyak lagi gereja cantik di Rusia. Lihat video berikut untuk 25 gereja cantik di Rusia.
(Sumber utama: Artikel Culture Trip bertajuk, "The Most Beautiful Churches In Russia" yang ditulis oleh Dasha Fomina bertarikh 20 Feb 2017)