Jumaat, 6 Julai 2018

Apa Yang Saya Pelajari Dari Piala Dunia FIFA Setakat Ini


Piala Dunia FIFA sedang berlangsung rancak di Rusia. Saya berkesempatan mengikuti beberapa perlawanan melalui siaran langsung di televisyen. Selain itu, saya juga mengikuti perkembangan dan analisa oleh pengulas sukan di suratkhabar dan di alam maya. Dua pelajaran yang saya pelajari daripada Piala Dunia FIFA di Rusia setakat ini:

1. Pasukan yang hanya bergantung pada seorang pemain bintang tidak akan berjaya.

Setakat ini beberapa pasukan dengan pemain handalan telah tewas dalam pertandingan. Argentina memiliki Lionel Messi, dan Portugal mempunyai Cristiano Ronaldo, kedua-duanya pemain handalan dunia, masing-masing pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali. Namun begitu, kedua-dua pasukan mereka tewas dalam perlawanan dan terkeluar dari pertandingan. Pasukan-pasukan itu terlalu bergantung kepada pemain bintang mereka dan itu tidak mencukupi untuk membawa kemenangan dalam pertandingan berpasukan di peringkat yang tertinggi. 

Begitu juga dalam gereja, kita diajar oleh Paulus bahawa gereja adalah satu tubuh, di mana setiap bahagiannya harus melakukan peranannya masing-masing untuk berfungsi dengan baik. Gereja yang hanya bergantung dengan seorang "pemain bintang" tidak akan berjaya kerana setiap ahli diperlukan untuk menjayakannya.  

"Daripada-Nya, seluruh tubuh yang dihubungkan dan dijalin erat oleh setiap sendi dalam kelengkapannya manakala setiap bahagian menjalankan peranan masing-masing, bertumbuh untuk meneguhkan dirinya dalam kasih" (Efesus 4:16, AVB).

2. Pasukan yang mengatur strategi mengikut kekuatannya sendiri berpeluang memenangi perlawanan.

Pasukan tuan rumah Rusia melakukan kejutan dengan mengalahkan Sepanyol, salah satu pasukan pilihan, dalam pusingan kalah mati. Jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov menyedari bahawa pasukan Sepanyol lebih kuat daripada pasukannya. Maka dia memilih untuk permainan bertahan dengan barisan pertahanan lima orang untuk menumpulkan serangan Sepanyol. Strateginya mengena, Sepanyol tidak dapat menembusi pertahanan Rusia, permainan lanjut ke sepakan penalti di mana kedua-dua pasukan memiliki peluang yang sama rata, yang akhirnya dimenangi oleh Rusia.

Ketika anak muda Daud disuruh memakai baju zirah Raja Saul untuk pertempuran melawan Goliat, anak muda itu hampir tidak dapat berjalan kerana beratnya baju zirah itu. Daud menanggalkan baju zirah itu dan menggunakan strateginya sendiri dengan menggunakan umban dan batu 

Setiap gereja mempunyai kekuatan tertentu yang diberikan oleh Tuhan. Kita tidak boleh meniru bulat-bulat strategi atau program daripada gereja lain tanpa mengambil kira kekuatan diri kita. Kita perlu sebenarnya merangka strategi mengikut kekuatan yang Tuhan telah berikan kita. Dengan strategi yang betul, kita berpeluang berjaya dan berhasil dalam usaha kita.

Apakah kekuatan yang ada pada gereja kita? Gunakanlah untuk membawa kemenangan dalam pelayanan!

Itulah yang saya pelajari daripada Piala Dunia FIFA setakat ini.

- Corat-Coret Si Domba Putih