LANGKAWI: Polis menahan 4 warga Finland di sebuah hotel
semalam untuk siasatan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Kanun
Keseksaan selepas disyaki mengedar pen dan buku tertera pernyataan dari Bible
di kawasan awam di sini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim yang
mengesahkan tangkapan itu hari ini berkata semua suspek, berumur antara 27 dan
60 tahun itu ditahan sepasukan polis diketuai Insp Alex Pang Tak Fatt di sebuah
bilik hotel itu pukul 5.00 petang semalam.
Semasa ditangkap, polis menemui 47 batang pen dan 336 naskah
buku kecil yang mengandungi kenyataan yang dipetik dari Bible yang dipercayai
cuba diedarkan kepada orang ramai.
Menurutnya, polis memohon perintah reman ke atas semua
suspek bagi meneruskan siasatan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan
Imigresen 1963, kerana melanggar syarat imigresen yang memperuntukkan hukuman
denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Siasatan ke atas mereka turut melibatkan Seksyen 298A Kanun
Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni atau memudaratkan, dan jika
disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara antara 2 dan 5 tahun.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Polis Tahan 4 Warga Finland Edar Pen, Risalah Bible Di Langkawi" bertarikh 21 November 2018)