Sultan Pahang, Sultan Abdullah dan Permaisurinya |
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa
Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dipilih sebagai Yang
di-Pertuan Agong ke-16, kata sumber-sumber kepada Malaysiakini.
Pemilihan Sultan Abdullah dibuat selepas Mesyuarat Khas
Majlis Raja-Raja selesai jam 12.45 tengah hari tadi.
Agensi Berita Nasional (Bernama), memetik kenyataan
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad turut
mengesahkan perkara itu.
Sultan Abdullah, 59 ditabalkan sebagai Sultan Pahang bagi
menggantikan ayahandanya, Sultan Ahmad Shah pada 12 Jan lalu.
Sultan Ahmad, 88 dilapor kini sedang menjalani rawatan di
Institut Jantung Negara (IJN).
Sementara itu sumber memberitahu Malaysiakini bahawa
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula sekali lagi dipilih sebagai timbalan Yang
di-Pertuan Agong.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Permaisurinya |
Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan
Zainal Abidin itu berlangsung selama lebih satu jam.
Mesyuarat dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan.
Pemilihan itu diadakan susulan peletakan jawatan Sultan
Kelantan Sultan Muhammad V pada 6 Januari lepas.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Sultan Pahang Dipilih Sebagai Agong Baru" yang ditulis oleh Hariz Mohd bertarikh 24 Januari 2019)