Bishop Besar Justin Welby |
Bishop Besar Canterbury, yang dikenali sebagai ketua Church of England, telah mendedahkan bahawa dia berdoa dalam bahasa roh setiap hari.
Bishop Besar Justin Welby, yang telah melayani dalam jawatan itu sejak November 2012, menyatakan dia berkata-kata dalam bahasa roh semasa doa pagi hariannya pada 5 pagi. Bishop itu berkongsi berita itu semasa temubual dengan stesen radio Kristian, Premier.
"Dalam hidup doa peribadi saya, dan sebagai sebahagian daripada disiplin harian saya, saya berdoa dalam bahasa roh setiap hari - bukan secara kadang-kala, tetapi sebagai sebahagian daripada doa harian saya," kata Welby. "Ianya bukan sesuatu yang perlu digembar-gemburkan. Oleh kerana ianya pada pagi-pagi benar, ianya biasanya bukanlah detik yang amat penuh keterujaan."
Bishop itu juga terbuka kepada kurnia-kurnia lain Roh Kudus yang beroperasi pada zaman modern kita hari ini, dengan berkata dia menerima kata-kata pengetahuan daripada orang-orang lain dan dia menjangka "mendengar daripada Tuhan melalui orang-orang lain dengan kata-kata pengetahuan atau nubuatan - yang sebilangannya saya tidak berapa pasti, dan yang lain saya dapat rasakan ada sesuatu daripada Roh Kudus."
Berbahasa roh dan kata-kata pengetahuan adalah kebiasaan dalam gereja-gereja lebih karismatik seperti golongan Pentakosta. Bagaimanapun, Welby percaya bahawa kurnia-kurnia itu bukan hanya untuk gereja-gereja karismatik. The Guardian melaporkan bahawa dia berusia 19 tahun ketika dia dipenuhi Roh Kudus sewaktu menjadi anggota Anglikan.
"Bermulalah dari detik itu dan pada hari-hari berikutnya saya menyedari bahawa Roh Kudus telah menjamah saya dengan cara yang sangat berkuasa," dia telah berkongsi dengan Anglican Communion News Service pada 2015. "Saya mula berkata-kata dalam bahasa roh dan mula menyelami keintiman yang Kristus bawakan kepada kita."
Welby mempunyai kaitan dengan sayap evangelikal Church of England. Dia telah dibesarkan di Holy Trinity Brompton, gereja Anglikan yang evangelikal yang dikenali dengan amalan berkata-kata dalam bahasa roh.
Sesetengah denominasi percaya bahawa "berkata-kata dalam bahasa roh" dan "kata-kata pengetahuan" telah berakhir dengan gereja awal. Yang lain-lain pula menunjuk kepada Markus 16 di mana Yesus berkata kepada murid-murid-Nya mengenai berkata-kata dalam bahasa roh sejurus sebelum Dia diangkat ke syurga.
Markus 16:16-17 menyatakan, "Siapa yang percaya dan dibaptis akan diselamatkan, tetapi siapa yang tidak percaya akan dihukum. Tanda-tanda ini akan menyertai orang-orang yang percaya: mereka akan mengusir setan-setan demi nama-Ku, mereka akan berbicara dalam bahasa-bahasa yang baru bagi mereka,"
Banyak ayat-ayat Alkitab mengaitkan "berkata-kata dalam bahasa roh" dan "kata-kata pengetahuan" dengan kepenuhan Roh Kudus.
Setelah dipenuhi Roh Kudus dalam KPR 2, Petrus berkongsi satu petikan daripada Yoel 2:28, yang menyatakan, "Kemudian dari pada itu akan terjadi, bahwa Aku akan
mencurahkan Roh-Ku ke atas semua manusia, maka anak-anakmu laki-laki dan
perempuan akan bernubuat; orang-orangmu yang tua akan mendapat mimpi, teruna-terunamu
akan mendapat penglihatan-penglihatan."
Dalam temubual Premier itu, Welby mengingatkan mengenai "bahaya mengasingkan 'karismatik' sebagai satu kategori puak tertentu dalam gereja" dan menekankan bahawa, "semua orang Kristian dipenuhi dengan Roh Kudus, jadi semua orang Kristian adalah karismatik dalam segi itu."
(Diterjemahkan daripada artikel CBN News bertajuk, "The Head of the Church of England Reveals, 'I Pray InTongues Every Day'" yang ditulis oleh Christian Ellis bertarikh 21 Januari 2019)