Sabtu, 19 Januari 2019

Berita Kebangunan Rohani Di Ba'Kelalan Mula Tersebar


Sehingga ke Hujung Bumi

Ada juga orang yang menyangkal atau cuba memperburukkan mukjizat-mukjizat di Gunung Murud itu. Tetapi seperti yang dinyatakan oleh Philip Siang, ianya mustahil untuk menyangkal mukjizat-mukjizat itu kerana sebilangan besar orang telah menyaksikan sendiri mukjizat-mukjizat itu.

Kebangunan rohani itu juga telah menarik perhatian akhbar nasional. New Straits Times yang telah menerbitkan satu siri mengenai kebangunan rohani itu, yang telah memain peranan menyebarkan maklumat mengenainya. Orang ramai dari segala tempat berkunjung ke Ba'Kelalan penuh dengan perasaan ingin tahu dan dengan harapan dapat menyaksikan sendiri mukjizat secara langsung.

Tetapi mereka yang datang telah menemukan sesuatu yang lebih besar. Siang mengingati ketika penulis New Straits Times, James Ritchie telah datang dengan harapan merakam foto bebola api, dan Pak Agung memberitahunya, "Kali ini Tuhan tidak akan lakukan mukjizat di langit, tetapi mukjizat akan terjadi di hatimu."

Agung Bangau

Siang sendiri telah melihat perubahan-perubahan pada mereka yang telah dia bawa ke Gunung Murud. "Saya telah bawa banyak kumpulan mendakinya, dan saya boleh katakan ini – kebanyakan mereka akan mengalami pertemuan peribadi dengan Tuhan. Kebanyakan masa, Tuhan tidak izinkan saya melihat apa yang mereka lihat atau mendengar apa yang mereka dengar, itu yang menghairankan saya. Tetapi apabila mereka berkongsi dengan saya apa yang mereka dengar dan lihat, saya sungguh takjub. Tuhan masih ingin saya memiliki iman kepada-Nya. Berbahagialah mereka yang tidak melihat namun tetap percaya," katanya dengan rasa hormat.

Kebangunan rohani itu telah melahirkan satu rangkaian rohani antarabangsa. "Ramai yang datang diperbaharui dan diberi kuasa untuk melakukan perkara besar di tanah air mereka sendiri," kata Siang. "Kebangunan rohani bukan sahaja mengenai pertemuan kebaktian, tetapi mengenai jiwa-jiwa yang telah dijamah. Dari Ba'Kelalan ke sekeliling Malaysia, Brunei, Indonesia, Afrika, Australia dan Amerika Syarikat – kebangunan rohani itu telah pergi ke hujung bumi."

(Dipetik dan diterjemahkah daripada artikel Asian Beacon bertajuk, "Revival In The Mountains: The Ba'Kelalan Miracle" yang ditulis oleh Charmain Sim bertarikh Jun-Julai 2014)