Rabu, 6 Mac 2019

Soalan Panas Dibangkit Dalam Pusingan Akhir Inkuiri Suhakam 2 Aktivis Hilang


KUALA LUMPUR: Siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia ke atas kehilangan Pastor Raymond Koh dan Pengasas Perlis Hope, Amri Che Mat berada di pusingan terakhir dengan peguam memberi hujah lisan mereka hari ini.

Inkuiri itu sudah berlarutan lebih setahun dengan 40 saksi dipanggil memberi keterangan. Tetapi, sehingga kini, lokasi 2 lelaki itu masih tidak diketahui.

Pada permulaan prosiding hari ini, Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai memaklumkan prosiding hari ini diadakan untuk panel itu menjelaskan isu tertentu, susulan hujah bertulis daripada semua pihak berkaitan.

“Ia bukan untuk panel menyampaikan sebarang keputusan (hari ini),” katanya.

Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, semasa beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya.

Rakaman kamera litar tertutup sebuah rumah berhampiran tempat kejadian menunjukkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan terlibat dalam kejadian pada siang hari itu.

Sehingga kini, tiada wang tebusan diminta atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran wang bukan motif penculikan itu.

Amri ialah pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope yang hilang sejak 24 November 2016. Isterinya dilaporkan berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Koh didakwa disiasat pihak berkuasa atas cubaan menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam, manakala pihak berkuasa mengesyaki Amri menyebarkan ajaran Syiah melalui Perlis Hope.

Hujah lisan hari ini bermula dengan peguam Amri, David Morais.

Mah meminta Morais menjelaskan berapa ramai saksi yang menyaksikan Amri diculik.

Morais berkata, ada 3 saksi, iaitu seorang penunggang motosikal bernama Syed Amri, pemilik restoran Mak Lang, Saiful Afdzan dan sepupunya.

Bagaimanapun, hanya Syed Amri yang hadir ke inkuiri itu dan Saiful Afdzan yang merupakan saksi kritikal, belum ditemui sehingga kini.

“Syed Amri berada di seberang jalan di atas motosikal dan nampak apa yang difikirkannya ialah kemalangan,” katanya sambil menambah saksi itu kemudiannya ternampak 3 kereta besar berwarna gelap yang mengelilingi sebuah lagi kenderaan yang dipercayai milik Amri.

Morais turut membangkitkan cara polis menyiasat kes itu.

“Mereka kata beliau hilang. Itu saja. Mereka tidak terima ia adalah penculikan.”

Satu lagi perkara dibangkitkan Morais ialah bagaimana Amri diculik.

“Ketika kereta Amri dibawa lari, ia kelihatan seperti pergerakan yang sering digunakan anggota polis.”

Morais kemudian memberitahu panel itu, bagi kes Saiful Afdzan, satu waran tangkap sudah dikeluarkan, tetapi tidak pernah dilaksanakan.

Mah bertanya seorang pemerhati polis yang hadir mengenai apa yang berlaku.

Anggota polis itu berkata, Saiful Afdzan sudah didakwa di mahkamah, tetapi satu waran tangkap dikeluarkan kerana dia tidak hadir. Katanya, polis masih gagal mengesan di mana dia berada.

Morais kemudiannya berkata, Saiful Afdzan hanya disoal siasat polis setahun selepas kejadian itu, walaupun dia didapati boleh menjadi saksi berpotensi apabila isteri Amri membuat laporan polis ke-2 pada 8 Disember 2016.

Turut dibangkitkan dalam hujah lisan Morais ialah kekurangan bukti forensik.

“Tidak ada sebarang ujian forensik serius dibuat terhadap kereta Amri.

“Polis seolah-olah membuat anggapan bahawa Amri adalah satu-satunya individu yang berada dalam kenderaan.”

Katanya, polis mengatakan tidak ada cap jari jelas dijumpai, terutamanya milik Amri.

“Isu di sini adalah siapa yang melakukan siasatan terhadap kereta itu dan jelas tiada sebarang usaha untuk menjejaki kereta tersebut.”

Morais turut mempersoalkan di mana Saiful Bahari, pemilik kereta Toyota Vios berwarna emas yang dilihat meninjau rumah Amri, berada. Katanya, Saiful menghilangkan diri tanpa sebarang jejak.

Morais berkata, Saiful yang merupakan pekerja kontrak bagi Cawangan Khas di Kuala Lumpur, berhenti pergi ke pejabat pada lewat 2017.

“Satu-satunya usaha mereka buat ialah mengetuk pintu rumahnya untuk melihat jika dia berada di sana.

“Keretanya…cukai jalan dan insurans…semuanya masih sah. Di mana dia berada? Kenapa dia tidak dibawa ke sini?” soalnya.

Pemerhati polis berkata, mereka tidak menyediakan jawapan untuk sebarang soalan tambahan dikemukakan Morais kerana mereka hanya menyediakan jawapan bagi 3 soalan diserahkan panel sebelum ini.

“Kami terkejut dan tidak sedia menjawab secara terperinci soalan-soalan tambahan. Kami memerlukan masa untuk membuat persediaan,” kata salah seorang pemerhati polis yang hadir.

Mah berkata, Suhakam akan membuat keputusan mengenai hasil siasatan awam secara lisan pada 3 April ini.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Soalan Panas Dibangkit Dalam Pusingan Akhir Inkuiri Suhakam 2 Aktivis Hilang" yang ditulis oleh Melissa Darlyne Chow bertarikh 6 Mac 2019)