Mungkin anda pernah melihatnya terjadi. Seseorang dalam gereja - dari kalangan anggota biasa atau pemimpin - merasa marah mengenai sesuatu dan meninggalkan gereja dengan cepat. Kadangkala kakitangan gereja juga tanpa disangka meninggalkan gereja dengan cepat. Inilah apa yang mungkin terjadi jika anda melakukan itu:
1. Anda mungkin mendapat tahu kemudian bahawa maklumat anda adalah silap. Anda bertindak mengikut apa yang anda fikirkan adalah benar, tapi kemudiannya mendapat tahu bahawa itu adalah informasi salah.
2. Anda mungkin hidup dalam penyesalan kerana tidak mengendalikan isu-isu itu dengan cara yang bersesuaian. Itu sering terjadi selepas kita melepasi emosi ketika itu dan terpaksa berhadapan dengan pilihan yang kita buat.
3. Anda mungkin mendapati bahawa keadaan tidak semestinya lebih baik di lain tempat. Tiada gereja yang sempurna, dan anda akan mempelajari hakikat itu di mana pun anda pergi.
4. Anda mungkin menyimpan kepahitan, dan dengan itu menghindar persekutuan anda dengan Tuhan. Meninggalkan sesuatu situasi tidak selalu bermakna anda meninggalkan kepedihan itu - terutamanya bila anda beredar pergi dengan cepat. Jika anda tidak mengampuni orang lain, persekutuan anda dengan Tuhan akan terjejas (Matius 6:14-15)
5. Anda mungkin mendapati gereja-gereja lain tidak mengalu-alukan anda menjadi ahlinya. Semakin banyak gereja yang mengkehendaki bakal-bakal ahli gereja untuk menyelesaikan saki baki isu dengan gereja lama mereka sebelum menerima mereka dalam keahlian.
6. Anda akan mendedahkan keadaan hati anda yang sebenar dengan respon tergesa-gesa anda. Kita menunjukkan siapa diri kita yang sebenar bukan ketika semuanya berjalan baik, tetapi ketika keadaan menjadi sukar. Keadaan sebenar anda mungkin tidak sealim yang disangka orang.
7. Anda mungkin merosakkan kerja dan kesaksian yang anda telah pupuk dengan setia selama bertahun-tahun di gereja. Tidak kira berapa lama anda telah ada di gereja, dan tidak kira betapa setianya anda, orang akan selalu paling ingat bagaimana anda meninggalkan gereja - terutamanya jika ianya bersifat negatif.
8. Anda mungkin akan kehilangan persahabatan jangka panjang anda. Apabila anda meninggalkan sesebuah gereja dengan cepat, anda juga sering meninggalkan hubungan persahabatan di situ.
9. Anda mungkin meninggalkan orang-orang lain untuk mengendalikan isu-isu yang sebenar di gereja itu. Sidang jemaat yang anda tinggalkan mungkin amat memerlukan hikmat dan pandangan anda.
10. Anda mungkin akan mencederakan generasi akan datang dalam keluarga anda. Secara asasnya, anda mengajar mereka untuk melarikan diri ketika mereka menjadi marah. Itu bukan suatu pola yang baik untuk dimulakan.
11. Anda mungkin menyedari kemudiannya bahawa anda adalah sebahagian daripada masalahnya. Kadang-kala hidup mengajar kita bahawa kita tidak sentiasanya betul.
Saya menyedari memang ada waktu-waktu yang sahih untuk meninggalkan sesebuah gereja. Marilah kita pastikan bahawa kita telah mengendalikan isu-isu itu dengan penuh doa dan kasih apabila kita melakukannya.
(Diterjemahkan daripada artikel Church Leaders bertajuk, "11 Things That Might Happen When You Leave A Church Quickly" yang ditulis oleh Chuck Lawless bertarikh 10 Oktober 2017)