Jumaat, 26 April 2019

Pastor Kepada Gereja Sri Lanka Yang Diserang Bom Mengampuni Pengebom Bunuh Diri


Gereja Zion di Sri Lanka adalah salah sebuah gereja yang diserang dalam siri serangan pengganas di negara itu pada hujung minggu Easter yang mengakibatkan kematian lebih daripada 250 orang. Gereja itu sendiri telah kehilangan 28 anggotanya apabila seorang lelaki meledakkan sebuah beg galas berisi bom di luar dewan ibadah gereja. 

Namun begitu, di tengah tragedi yang menyedihkan ini, pastor Gereja Zion, Roshan Mahesan, berkata dia mengampuni pengebom-pengebom bunuh diri yang terbabit dalam serangan-serangan Ahad Easter itu.

Dalam sebuah video, Pastor Roshan berkata: "Kami dilukai, kami juga marah, tetapi masih juga, sebagai pastor senior Gereja Zion Batticaloa, seluruh jemaat gereja dan setiap keluarga yang terlibat, kami katakan kepada pengebom bunuh diri itu, dan juga kepada kumpulan yang telah menghantar pengebom bunuh diri itu, bahawa kami mengasihi kamu dan kami mengampuni kamu - tidak kira apa yang kamu telah lakukan terhadap kami, kami mengasihi kamu sebab kami percaya kepada Tuhan Yesus Kristus."



Polis pada ketika ini sedang memburu lebih daripada 140 suspek yang berkaitan dengan serangan-serangan itu. Jumlah kematian telah dilaporkan sebagai lebih rendah daripada yang telah disebutkan pada mulanya. Sebelum ini disangka melebihi 300 orang, pihak berkuasa berkata bahawa bilangannya kini adalah "lebih kurang 253."

Orang-orang Kristian di Sri Lanka telah dinasihatkan untuk tidak keluar rumah pada hujung minggu ini, oleh kerana kemungkinan ancaman yang masih berterusan. 

(Diterjemahkan daripada artikel Relevant Magazine bertajuk, "Pastor of Sri Lankan Church Devastated By Bombing Attack Forgives Suicide Bomber" bertarikh 26 April 2019)