Ahad, 7 April 2019

Polis Akan Beri Kerjasama Siasat Kehilangan Raymond, Amri, Kata Ketua Polis Negara

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun


KAJANG: Polis akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan berhubung dakwaan bahawa Cawangan Khas Bukit Aman terlibat dalam kehilangan paksa paderi Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun hari ini berkata polis akur dengan arahan yang diberikan pemimpin negara untuk menyiasat kes berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan langkah yang perlu diambil berhubung dakwaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Saya tidak sewajarnya memberi komen berhubung isu ini (kes Pastor dan Amri) kerana mereka ini (Suhakam) bukanlah pertama kali memberi keterangan kes berkenaan.

“Suhakam tidak sepatutnya menghebahkan laporan hasil inkuiri awam kes ini kepada umum dan ia seharusnya diserahkan kepada polis, Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkuasa lain yang berkaitan,” katanya selepas merasmikan perlawanan ragbi polis Piala Camaraderia di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am dekat sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Suhakam yang menyalahkan Cawangan Khas atas kehilangan paksa Raymond Koh dan Amri.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Polis Beri Kerjasama Penuh Siasat Kheilangan Raymond, Amri, Kata KPN" yang bertarikh 6 April 2019)