Khamis, 27 Jun 2019

Isteri Amri Pertikai Keanggotaan Pasukan Petugas



PETALING JAYA: Isteri kepada aktivis Perlis, Amri Che Mat, yang hilang pada November 2014, memberi amaran seorang anggota pasukan petugas yang ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan suaminya berpotensi berdepan percanggahan kepentingan.

“Saya sangat tidak berpuas hati dengan seorang yang dilantik ke pasukan petugas itu,” kata Norhayati Ariffin kepada FMT.

Beliau mendakwa anggota berkenaan, Mokhtar Mohd Noor, yang sebelum ini mengetuai jabatan undang-undang polis, terlibat secara langsung dalam siasatan ke atas kehilangan Amri.

Beliau menambah Mokhtar dilibatkan apabila pegawai penyiasat, Khor Yi Shuen memindahkan kes itu ke Bukit Aman.

Pada ketika itu, dia masih mempengerusikan jabatan undang-undang di situ, katanya.

Beliau menambah Mokhtar juga mewakili Bukit Aman di inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

“Jelas sekali Mokhtar seorang pihak berkepentingan dan oleh itu percanggahan kepentingan.”

“Saya dan anak-anak berasa lega kerajaan akhirnya mengambil langkah menangani dapatan inkuiri Suhakam yang sangat serius itu, termasuk susulan kepada keterangan-keterangan mengenai penglibatan Cawangan Khas dalam penculikan Amri dan Raymond Koh.

“Bagaimanapun, kami amat khuatir dengan keanggotaan pasukan petugas itu dan bagaimana ia boleh memberi kesan pada kebebasan dan kesaksamaaan yang perlu untuk suatu penyiasatan yang boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan.

Amri adalah pengasas sebuah badan kebajikan, Perlis Hope.

Isterinya mendakwa 5 kenderaan menghalang kereta suaminya sebelum dia dibawa pergi.

Beliau berkata penubuhan pasukan petuga situ tidak mengurangkan kesedihaan dan penderitaan yang dia dan anak-anak alami akibat tingkah laku polis dalam siasatan ke atas kehilangan Amri.

Beliau menambah kerajaan belum respon kepada permintaan pampasan pada 31 Mei lalu.

Kerajaan menambahkan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abd Rahim Uda untuk mengetuai pasukan petugas untuk menyusuli dapatan Suhakam mengenai penglibatan Cawangan Khas dalam kehilangan Amri dan Koh.

Selain Mokhtar, pasukan itu turut dianggotai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid; pegawai undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria; dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis, Mohd Russaini Idrus.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Isteri Amri Pertikai Keanggotaan Pasukan Petugas" yang ditulis oleh Ainaa Aiman bertarikh 26 Jun 2019)