Rabu, 17 Julai 2019

Kebangunan Rohani Dan Mukjizat: Gereja Kecil Di Georgia Melakukan 8,000 Baptisan Dalam 17 Bulan


Sepanjang pelayanan selama 30 tahun, Pastor Todd berkata dia tidak pernah melihat Tuhan muncul dengan cara yang dilakukan-Nya dalam 17 bulan yang lepas di Christ Fellowship Church di Dawsonville. Kuasa-Nya telah menghapuskan kanser, melenyapkan penyakit, menghancurkan ketagihan alkohol, menyebabkan perkahwinan dipulihkan dan penyembuhan sakit jiwa menjadi nyata di kolam baptisan gereja. 

Hakikatnya, berita mengenai mukjizat-mukjizat itu telah begitu tersebar sehingga Smith dan kakitangan gerejanya telah melakukan lebih daripada 8,000 baptisan sejak Februari 2018. Orang ramai telah berduyun-duyun ke pekan kecil Dawsonville yang terletak di timur laut Atlanta - dengan populasi hanya 3,500 - dari sekeliling negara dan sekitar dunia. Orang ramai telah mengambil penerbangan dari lebih daripada 20 negara di sekeliling dunia untuk mengalami kuasa luar biasa Tuhan di Dawsonville. 

"Saya bukan mengatakan mengenai sakit kepala, sakit di jari kaki atau sakit perut. Kita sedang memperkatakan mengenai masalah perubatan dan emosi yang serius," Smith memberitahu Dr Steve Greene dalam satu episod terbaru "Greenelines" di Charisma Podcast Network. "Orang akan memasuki air, dan Yesus menjamah mereka di dalam air. Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini seumur hidup saya."

"Saya tidak pernah melihat kuasa Tuhan dinyatakan dengan sebegitu cara dalam air baptisan. Ini adalah kebangunan rohani baptisan. Orang ramai mengetahui mengenai ini dari seorang ke seorang. Kesaksian-kesaksian yang disampaikan adalah mengenai perubahan hidup yang nyata, dan jiwa-jiwa yang diselamatkan. Sekali lagi, saya tidak pernah melihat kuasa Tuhan seperti yang saya lihat saat ini. Dan orang ramai, sebaik sahaja kaki mereka memasuki air, api Tuhan mula menyentuh mereka. Ramai daripada mereka kehilangan upaya untuk berjalan ke hadapan, dan yang lain pula, apabila mereka dibaptis, mereka rebah oleh kuasa rohani Tuhan yang datang ke atas mereka. Mereka tiada lagi kekuatan di kaki, dan mereka jatuh begitu sahaja ke dalam air. Ramai daripada mereka dibaptis dalam Roh Kudus, dan berbahasa roh."

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Kebangunan Rohani di Dawsonville, dengarlah podcast di sini.

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma bertajuk, "Revival of Miracles: Small Georgia Church Performs 8,000 Baptisms in 17 Months" yang ditulis oleh Shawn A. Akers bertarikh 13 Julai 2019)