Selasa, 22 Oktober 2019

Apakah Yang Perjanjian Baru Katakan Mengenai Peranan Wanita Dalam Pelayanan


Oleh Ben Witherington III:

Pasti sekali salah satu daripada topik paling kontroversi yang kita boleh bincangkan berkenaan apa yang Perjanjian Baru katakan mengenai wanita adalah berkenaan wanita dan peranan pelayanan. 

Pada satu pihak, kita ada gereja-gereja tradisi Kristian yang mengatakan bahawa wanita tidak boleh menjadi paderi, bahawa wanita tidak harus ditahbiskan menjadi pastor, peranan-peranan ini adalah dilarang dalam Perjanjian Baru. Pada pihak yang satu lagi, kita ada gereja-gereja yang lebih tradisi karismatik, yang mengatakan sesiapa yang memiliki karunia-karunia, sesiapa yang memiliki Roh Kudus harus dapat melaksanakan karunia mereka dalam Tubuh Kristus, dan ini bukan soal jantina. 

Jadi apakah kebenaran mengenai ini? Apakah yang harus kita fikirkan?

Mari kita lihat dua petikan "bermasalah" yang telah sering digunakan oleh kedua-dua gereja Protestan dan Katolik yang ortodoks untuk melarang wanita dari pelayanan: 1 Korintus 14 dan 1 Timotius 2.

Perkara pertama untuk dikatakan mengenai kedua-dua petikan itu adalah petikan-petikan itu untuk memperbetulkan sesuatu masalah. Biar saya ulangi, petikan-petikan itu adalah untuk memperbetulkan sesuatu masalah.

Mengenai petikan 1 Korintus

Dalam 1 Korintus, masalahnya kita ada wanita-wanita, lebih khususnya isteri-isteri yang menanya soalan dalam kebaktian ibadah, dan mengganggu kebaktian ibadah. Paulus tidak senang dengan itu, Dia berkata kepada wanita-wanita itu, jika anda mempunyai apa-apa soalan, tanyalah suami di rumah. Jangan jadikan kebaktian ibadah sesi soal jawab. 

Itu adalah pembetulan kepada masalah yang khusus. Ianya bukan satu larangan kepada wanita dari berkata-kata atau menyembah secara umum, atau satu perintah bahawa mereka selalu harus berdiam dalam ibadah. 

Lihat 1 Korintus 11, tiga fasal sebelumnya. Apa yang Paulus mengatakan mengenai perkara ini adalah bagus wanita berdoa dan bernubuat dalam kebaktian ibadah, selagi mereka lakukannya dengan cara yang tertib dan teratur. 

Tiada masalah dengan wanita berkata-kata dalam ibadah, memimpin dalam ibadah, memberikan kata-kata yang diinspirasikan dalam ibadah, memimpin doa dalam ibadah. Tiada masalah, tetapi ianya perlu dilakukan dengan tertib dan teratur sebab Allah adalah Allah yang teratur, bukannya Allah yang kacau-bilau.

Mengenai petikan 1 Timotius

1 Timotius adalah masalah yang agak berbeza. Kita ada wanita-wanita berstatus tinggi yang Paulus cuba perbetulkan. Dan apa yang kita tahu mengenai wanita berstatus tinggi dalam dunia Yunani-Rum adalah mereka kemungkinan lebih berpendidikan daripada wanita-wanita lain. Dan mereka lebih kemungkinan membuat anggapan bahawa mereka dapat serta-merta memegang peranan penting dalam apa pun agama yang mereka anuti. 

Dalam tokong Artemis, dalam kuil Aphroditus, untuk dewi ini atau dewi itu, mereka boleh menjadi imam wanita, mereka boleh menjadi imam wanita untuk Dewi Vesta di Rum umpamanya. Dengan itu apabila wanita yang bukan Yahudi memasuki gereja, dan dia berpendidikan, dan dia pernah mempunyai peranan penting, termasuk peranan mengajar dalam agama-agama lain, tanggapan biasa adalah, saya juga dapat lakukan  ini dalam Kekristianan juga. 

Paul berkata, jangan dulu. Kamu perlu belajar sebelum kamu mengajar. Kamu perlu mendengar dan belajar sebelum kamu mengajar. Jadi apa yang Paulus katakan dalam konteks itu?

Pertamanya, dia katakan, saya tidak sekarang membenarkan wanita untuk mengajar atau mengambil alih kuasa guru-guru lelaki di Efesus. Apa yang Paulus mahu mereka lakukan, sebaliknya adalah untuk mendengar Firman. 

Kata kerja "Saya tidak sekarang membenarkan" tidak pernah dalam mana-mana teks Yunani yang saya ketahui membawa makna, saya tidak pernah akan benarkan, atau saya sentiasa tidak membenarkan. Dia sedang membetulkan suatu masalah. Dia sedang membetulkan keadaan di mana beberapa orang yang terlalu bersemangat yang ingin terus terjun masuk dan mengajar dan sehingga mengambil alih peranan mereka yang sudah pun diberi kuasa menjadi guru. Paulus mengatakan, "Tidak begitu, kita akan melakukan ini dengan teratur dan cara yang baik.

Jika kita lihat kembali ke permulaan petikan itu, Paulus adalah pengkritik yang adil kepada semua, terhadap lelaki dia mengatakan, saya mahu semua lelaki mengangkat tangan yang kudus tanpa bersungut-sungut. Hai lelaki, jangan bersungut-sungut, hai wanita jangan berhiaskan permata cantik, dan jangan mengganggu ketika pengajaran guru-guru yang telah dipertanggungjawabkan. 

Petikan ini adalah untuk memperbetulkan sesuatu masalah, bukan untuk melarang wanita daripada menjadi pelayan dalam pelbagai cara. 

Contoh-Contoh Wanita Dalam Pelayanan 

Apabila kita melihat contoh-contoh sebenar wanita dalam pelayanan, berikut adalah beberapa perkara mengejutkan yang kita temui:

Dalam Kisah Para Rasul, kita ada wanita-wanita yang adalah nabiah, anak-anak perempuan Filipus.

Kita ada wanita-wanita yang adalah pengajar-pengajar. Priskila mengajar seorang pengajar lelaki yang terkenal bernama Apolos dalam KPR fasal 18.

Kita ada wanita-wanita yang mengambil peranan sebagai diaken, Febe disebut dalam Roma 16. Kita juga ada Tabita dalam Kisah Para Rasul.

Kita ada rasul-rasul wanita, ya anda tak salah dengar, rasul-rasul wanita. Roma  16 mengatakan Andronikus dan Yunias adalah terhormat di kalangan rasul-rasul, ertinya mereka adalah rasul-rasul yang dihormati. Kriteria untuk menjadi rasul adalah pernah melihat Kristus yang telah bangkit dan diutuskan oleh-Nya untuk melayani-Nya dalam pelbagai tugas pelayanan.

Dalam Filipi 4, Paulus menegur dua wanita, Euodia dan Sintikhe, yang merupakan "rakan-rakan sekerja", yang bererti rakan-rakan sekerja dalam pelayanan kerana mereka menimbulkan perbalahan di Filipi dan dia ingin menghentikan itu. Dia tidak akan memperbetulkan hanya suatu perbalahan peribadi kecuali ianya mengganggu ibadah gereja rumah dan dia memanggil mereka rakan-rakan sekerja.

Jadi, banyak bukti-bukti bahawa syarat peranan pelayanan bukanlah jantina dalam Perjanjian Baru. Syarat untuk peranan pelayanan adalah siapa yang telah dipanggil, yang diberi karunia oleh Roh Kudus, dan yang telah diberikan kesempatan dan latihan untuk melayani dalam sesuatu tugas pelayanan.

Dan ianya boleh sebagai pasangan pelayanan suami isteri seperti Andronikus dan Yunias atau Priskila dan Akwila. Atau sebagai seorang wanita bujang seperti Febe, yang Paulus katakan adalah penaungnya dan yang menjaganya ketika dia tinggal di Korintus.

Dalam erti kata lain, kita memiliki semua bukti yang kita perlukan untuk menunjukkan dalam Perjanjian Baru, dalam aturan baru dengan kedatangan Kerajaan Allah, dalam kenyataan estakologi baru iaitu Kekristianan, lelaki dan wanita boleh sesungguhnya melayani dalam pelbagai peranan dalam keluarga dan pelayanan.

Atau seperti Paulus katakan dalam Galatia 3:20, "Tiadalah lagi orang Yahudi atau orang Yunani, hamba atau orang merdeka, lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Kristus Yesus." Itu telah dipanggil magna carta untuk kebebasan manusia. Antara yang paling dibebaskan dalam begitu banyak cara, adalah wanita. Wanita yang dapat melayani kedua-duanya dalam keluarga dan dalam keluarga Allah. 

(Dipetik dan diterjemahkan daripada video YouTube bertajuk "Women & Ministry Part II: Seven Minute Seminary" oleh Seedbed bertarikh 16 Mac 2012)