Selasa, 12 November 2019

Dari Pengebom Pearl Harbor Menjadi Pengikut Kristus

Ketua Komander, Mitsuo Fuchida

Oleh Mitsuo Fuchida:

Saya mesti mengaku bahawa saya lebih teruja dari kebiasaannya ketika bangun pagi itu pada 3 pagi, waktu Hawaii, empat hari selepas hari jadi saya yang ketiga puluh lapan. Enam kapal pengangkut pesawat kami telah ditempatkan 230 batu di utara Pulau Oahu. Sebagai ketua komander skuad udara, saya membuat semakan terakhir laporan risikan di bilik operasi sebelum memanaskan enjin kapal terbang "jenis 97" saya yang akan digunakan untuk pengeboman dan pelancaran torpedo.

Terbitnya matahari di sebelah timur sungguh cantik di atas awan-awan putih sambil saya memimpin 360 kapal terbang ke arah Hawaii pada tahap ketinggian 3,000 meter. Saya tahu matlamat saya: untuk mengejutkan dan melumpuhkan tentera laut Amerika di Pasifik. Tetapi saya bimbang saya akan digagalkan jika sebilangan daripada kapal-kapal perang Amerika tidak ada di sana. Saya tidak memikirkan mengenai kemungkinan serangan ini akan membawa kepada persengketaan maut dengan Amerika Syarikat. Saya hanya terfikir untuk melakukan serangan ketenteraan yang berjaya. 

Sambil kami menghampiri kepulauan Hawaii pada pagi Ahad yang cerah itu, saya membuat tinjauan awal pelabuhan itu, Padang Hickam yang berdekatan dan semua penempatan lain tentera di sekitar Honolulu. Sambil melihat seluruh angkatan Kapal Pasifik Amerika berlabuh dengan aman di tempat berlabuh di bawah, saya tersenyum dan mencapai mikrofon lalu berkata, "Semua skuad, terjun dan serang." Waktunya 7.49 pagi. 

Serangan Jepun ke atas Pearl Harbor

Seperti taufan, yang muncul tanpa disangka, kapal-kapal terbang torpedo, penerjun dan pejuang kami menyerang mendadak dengan ganas sekali. Sambil asap berkepul dan kapal-kapal laut yang megah itu mulai condong, hati saya dipenuhi kegembiraan. Dalam masa tiga jam seterusnya, saya secara langsung mengarahkan lima puluh kapal terbang pengebom sambil mereka menjatuhkan bom ke atas bukan sahaja pelabuhan Pearl Harbour, tetapi juga lapangan kapal udara, rumah-rumah tentera, dan kawasan membaiki kapal yang berdekatan. Kemudiannya saya akan terbang lebih tinggi untuk membuat tinjauan lebih tepat kerosakan yang telah dilakukan dan melaporkannya kepada pegawai-pegawai atasan. 

Daripada lapan kapal perang di pelabuhan itu, lima telah dihentam sehingga tidak boleh dipakai lagi sementara waktu. Kapal Arizona hancur tanpa boleh dibaiki lagi; Oklahama, California dan West Virginia telah dikaramkan. Nevada telah terdampar dan sedang tenggelam; hanya Pennyslyvania, Maryland dan Tennessee yang masih dapat dibaiki. Daripada lapan kapal itu, California, West Virginia dan Nevada telah dapat dipulihkan kemudiannya, tetapi Oklahoma walaupun dapat ditimbulkan balik tetapi telah ditenggelamkan kembali kerana tidak dapat dipakai lagi. Kapal-kapal kecil yang lain telah dirosakkan, tetapi keperitan dari 3,077 anggota angkatan tentera Amerika yang terbunuh atau kehilangan dan 876 orang yang tercedera adalah sesuatu yang tidak dapat dibaiki.

Kapal Arizona terbakar selepas serangan Jepun di Pearl Harbour

Itu adalah aksi gagah berani paling mengujakan dalam karir saya. Sejak saya mempelajari mengenai kemenangan negara saya dalam Perang Rusia-Jepun pada 1905, saya telah mengimpikan untuk menjadi laksamana laut seperti Laksamana Togo, Ketua Komander kami dalam kemenangan penting Battle of Japan Sea. 

Oleh kerana ayah saya seorang guru besar di sekolah rendah dan seorang nasionalis yang patriotik, saya telah dapat diterima masuk dalam Akademi Tentera Laut pada usia 18 tahun. Setelah tamat pengajian tiga tahun kemudian, saya telah menyertai Angkatan Tentera Laut Udara Jepun dan berkhidmat sebagai juruterbang di kapal pengangkut pesawat selama lima belas tahun seterusnya. Oleh itu ketika tiba waktunya untuk memilih ketua komander untuk misi Pearl Harbor, saya telah mengumpulkan 10,000 jam penerbangan, menjadikan saya juruterbang paling berpengalaman dalam Tentera Laut Jepun.

Dalam empat tahun seterusnya, saya cuba melakukan lebih hebat lagi daripada aksi Pearl Harbor saya. Saya terlibat dalam aksi di Kepulauan Solomon, Jawa dan Lautan India; sejurus sebelum Battle of Midway pada 4 Jun 1942, saya mendapat appendiks dan tidak dapat terbang. Berbaring di katil, muka saya berkerut, mendengar semua bunyi tembakan di sekeliling saya. Pada penghujung harinya, kami telah mengalami kekalahan besar kami yang pertama, kami kehilangan sepuluh kapal perang. 

Sejak itu, keadaan bertambah teruk. Saya tidak mahu menyerah kalah. Saya lebih rela berlawan sehingga anggota yang terakhir. Namun begitu, apabila Maharaja kami mengumumkan penyerahan kalah, saya menerima keputusan itu. 

Menteri Jepun menandatangani surat penyerahan kalah selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom

Saya berada di Hiroshima pada hari sebelum bom atom dijatuhkan, untuk menghadiri satu persidangan ketenteraan selama seminggu dengan Angkatan Tentera Darat. Nasib saya baik, saya menerima satu panggilan jarak jauh dari ibu pejabat Tentera Laut, yang meminta saya kembali ke Tokyo. 

Dengan tamatnya perang, karir tentera saya pun berakhir, kerana semua angkatan tentera Jepun dibubarkan. Saya kembali ke kampung halaman saya berdekatan Osaka, dan mula berkebun, tetapi gaya hidup itu membuat saya murung. Saya menjadi semakin muram, terutamanya bila perbicaraan jenayah perang bermula di Tokyo. Walaupun saya tidak pernah didakwa, Douglas MacArthur telah menyuruh saya memberi keterangan beberapa kali. 

Semasa turun dari keretapi pada suatu hari di Stesen Shibuya, Tokyo, saya terlihat seorang lelaki Amerika mengedarkan risalah. Ketika saya berlalu, dia menghulurkan saya sekeping risalah bertajuk, "I Was A Prisoner of Japan" (Saya Pernah Jadi Tawanan Jepun) yang telah diterbitkan oleh Bible Literature International, dikenali pada waktu itu sebagai Bible Meditation League. Oleh kerana pada waktu itu saya terlibat dalam perbicaraan mengenai kezaliman yang dilakukan ke atas tawanan perang, saya menerima risalah itu. 


Apa yang saya baca adalah kisah menarik yang akhirnya akan mengubah hidup saya. Pada Ahad itu, semasa saya di udara di atas Pearl Harbor, seorang askar Amerika bernama Jake DeShazer sedang menjalankan tugas dapur di sebuah kem Tentera Darat di California. Apabila radio melaporkan serangan mendadak yang membinasakan Pearl Harbor, dia membaling seketul kentang ke dinding dan menjerit, "Hai anak Jepun, kau tunggu dan lihat apa yang kami akan lakukan padamu!"

Sebulan kemudian dia dengan sukarela menyertai satu misi rahsia dengan skuad Jimmy Doolitle - satu serangan mengejut ke Tokyo dari kapal pengangkut Hornet. Pada 18 April 1942, DeShazer adalah salah satu daripada pengebom-pengebomnya, dan penuh kegirangan kerana dapat membalas dendam. Selepas serangan pengeboman itu, mereka terbang terus ke arah China, tetapi kehabisan minyak dan terpaksa berpayung terjun ke kawasan yang dikuasai Jepun. Pagi esoknya, DeShazer telah menjadi tawanan perang Jepun.

Jake DeShazer

Semasa empat puluh bulan seterusnya, DeShazer telah dilayani dengan kejam. Dia masih mengingati bagaimana kebenciannya yang begitu kuat terhadap pengawal-pengawal Jepun yang melayaninya dengan buruk itu hampir membuatnya gila pada suatu waktu. Tetapi selepas dua puluh lima bulan di Nanking, China, tawanan-tawanan itu diberikan sebuah Alkitab untuk dibaca. Kerana DeShazer bukan seorang pegawai, dia terpaksa menunggu orang-orang lain menggunakannya dulu. Akhirnya tibalah gilirannya -- untuk selama tiga minggu. Di kem tawanan perang Jepun itu, dia membaca dan membaca dan akhirnya memahami bahawa buku itu lebih daripada sebuah klasik sejarah. Mesejnya menjadi sangat relevan kepadanya di situ juga dalam sel tahanannya.

Kuasa dinamik Kristus yang diterima oleh Jake DeShazer dalam hidupnya telah mengubah seluruh sikapnya terhadap orang-orang yang menawannya. Kebenciannya berubah menjadi kasih dan keprihatinan, dan dia bertekad jika negaranya memenangi peperangan itu dan dia dibebaskan, dia akan kembali satu hari nanti ke Jepun untuk memperkenalkan buku yang mengubah kehidupan itu kepada orang-orang lain.

Mitsuo Fuchida bertemu Jake DeShazer
selepas Perang Dunia Kedua

DeShazer benar-benar melakukan itu, setelah mendapat latihan di Seattle Pacific College, dia kembali ke Jepun sebagai seorang misionari. Dan kisahnya, yang diterbitkan dalam sebuah risalah, adalah sesuatu yang saya tidak dapat jelaskan.

Dan juga tidak dapat lupakan. Motivasi penuh aman yang saya telah baca itu adalah benar-benar apa yang saya sedang cari. Oleh kerana orang Amerika itu telah mendapatkannya dalam Alkitab, saya mengambil keputusan membeli senaskah, walaupun saya dari latar belakang tradisi Buddhis.

Pada minggu-minggu seterusnya, saya membaca buku ini dengan bersemangat. Saya tiba di bahagian kemuncak dramanya -- Kisah Penyaliban. Saya membaca dalam Lukas 23:34: "Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka." Saya rasa sungguh terkesan kerana saya sepastinya salah seorangnya yang didoakan oleh Yesus. Begitu ramai orang yang telah saya bunuh telah dikorbankan atas nama patriotisme, sebab dulunya saya tidak kenal kasih yang Kristus ingin tanamkan dalam setiap hati. 

Pada ketika itu juga, saya sepertinya bertemu Yesus untuk pertama kalinya. Saya memahami maksud kematian Yesus sebagai pengganti untuk kejahatan saya, oleh itu dalam doa, saya memintanya mengampuni dosa-dosa saya dan mengubah saya daripada seorang bekas juruterbang yang pahit dan kecewa menjadi seorang Kristian yang seimbang dan memiliki tujuan dalam kehidupan. 



Tarikh itu, 14 April 1950 -- telah menjadi "hari kenangan" yang kedua dalam hidup saya. Pada hari itu saya menjadi manusia baharu. Pandangan hidup saya sepenuhnya telah diubah oleh campur tangan Kristus yang dulunya saya benci dan abaikan. Tidak lama kemudian, kawan-kawan lain di luar lingkungan keluarga terdekat saya, mengetahui keputusan saya untuk mengikuti Kristus, dan mereka tidak dapat memahaminya. 

Tajuk-tajuk besar berita mula muncul di suratkhabar: "Wira Pearl Harbor Masuk Kristian." Kawan-kawan lama sewaktu perang datang mengunjungi saya, dan cuba menyakinkan saya untuk melepaskan "idea gila ini". Yang lainnya pula menuduh saya mencari kesempatan, memeluk Kristian hanya untuk menyenangkan pihak Amerika yang menang. 

Tetapi waktu telah membuktikan mereka silap. Sebagai seorang penginjil, saya telah menjelajah di sekeliling Jepun dan Asia Timur untuk memperkenalkan Peribadi yang telah mengubah hidup saya. Saya percaya dengan segenap hati saya bahawa mereka yang memerintah Jepun -- dan semua negara lain -- pada dekad-dekad akan datang tidak boleh mengabaikan mesej Yesus Kristus. Anak-anak muda harus menyedari bahawa Dialah satu-satunya harapan bagi dunia yang penuh kekacauan ini. 


Mitsuo Fuchida kemudian menjadi seorang penginjil

Walaupun negara saya mempunyai tahap celik huruf tertinggi di dunia, pendidikan tidak dapat membawa keselamatan. Kedamaian dan kebebasan -- secara kebangsaan dan secara peribadi -- datang  hanya menerusi pertemuan dengan Yesus Kristus. 

Saya akan lakukan apa saja untuk menarik balik tindakan-tindakan saya dua puluh sembilan tahun lalu di Pearl Harbor, tetapi itu mustahil terjadi. Sebaliknya, kini saya berusaha uutuk memberi pukulan maut kepada kebencian asas yang menguasai hati manusia dan mengakibatkan tragedi seperti itu. Dan kebencian itu tidak dapat dicabut tanpa petolongan dari Yesus Kristus. 

Dialah satu-satunya Peribadi yang cukup berkuasa untuk mengubah hidup saya dan menginspirasikan saya dengan pemikirannya. Dialah satu-satunya jawapan untuk kehidupan Jake DeShazer yang terseksa. Dialah satu-satunya jawapan untuk anak-anak muda hari ini.

(Diterjemahkan daripada artikel Airpigz bertajuk, "Mitsuo Fuchida, Pearl Harbor & The Real Meaning of Christmas" bertarikh 25 Disember 2010)