Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan
Tao Malaysia (MCCBCHST) menggesa Kementerian Pendidikan menarik balik kebenaran
terhadap Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk melakukan kegiatan
dakwah di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
"MCCBCHST melihat memo yang dikeluarkan Kementerian
Pendidikan (tentang kebenaran itu) dengan penuh kebimbangan.
"Ini kerana kegiatan dakwah dirancang untuk dilakukan
dengan skala begitu besar di kalangan pelajar...Sekolah adalah tempat belajar,
mendapatkan pengetahuan, meningkatkan daya saing dan belajar sains dan
teknologi.
"Tetapi apa yang dirancang nampaknya mempromosikan
kegiatan dakwah Islam di kalangan pelajar yang sepatutnya bukan perkara yang
perlu ditumpukan di sekolah jenis kebangsaan.
"MCCBCHST menggesa Menteri Pendidikan menarik balik kebenaran
kepada Yadim itu... Sekolah adalah tempat untuk belajar dan melengkapkan
pelajar dengan kemahiran, bukan penyebaran mana-mana agama," kata majlis
itu dalam kenyataan hari ini.
MCCBCHST memetik memo Kementerian Pendidikan bertarikh 27
November, yang memberi kebenaran untuk menubuhkan Rakan Siswa Yadim di sekolah,
institut pendidikan guru Malaysia, politeknik, kolej komuniti, universiti awam
dan beberapa universiti swasta.
Dalam kenyataan 24 Disember lalu, Kementerian Pendidikan
berkata ia bukan langkah Islamisasi dan tertakluk kepada
kebenaran sekolah dan institusi yang terlibat.
Kementerian itu juga berkata ia tidak melibatkan murid bukan
Islam dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil
(SJKT) dan sekolah mubaligh.
"KPM memberi jaminan bahawa Rakan Siswa YADIM
bertanggungjawab mematuhi peraturan sedia ada dan prinsip kebebasan beragama
bagi murid bukan Islam. Sekolah juga diminta memantau dan memastikan aktiviti
tersebut tidak sama sekali melibatkan murid yang bukan beragama Islam,"
katanya lagi.
Bagaimanapun MCCBCHST berkata mustahil untuk pegawai
kementerian memantau semua sekolah yang terlibat dan menjamin peraturan
dipatuhi.
Majlis itu juga mempersoalkan sama ada program itu
benar-benar tidak melibatkan pelajar bukan Islam.
"Sasaran nampaknya pelajar bukan Islam kerana tiada
persoalan tentang penukaran agama (kepada Islam) kepada pelajar yang sudah pun
beragama Islam. Malah pelajar Muslim sudah pun belajar agama di bawah subjek
Pendidikan Islam, maka Yadim tidak akan berbuat perkara sama," katanya
lagi.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "MCCBCHST Gesa Tarik Balik Kebenaran Tubuh Rakan Siswa Yadim Di Sekolah" bertarikh 29 Disember 2019)