Peguam, Priscilla Ruth Marcus (kiri) bersama ibu bapa, Vilbon Madilan dan Wastinah Mangis |
Seorang peguam Sabah yang telah dipanggil untuk mengendalikan kes penukaran agama terbaru seorang pelajar Kristian ke agama Islam berkata bahawa dia juga telah dihubungi oleh peguam-peguam Katolik di Semenanjung dan Sarawak, yang bimbang dengan pengulangan insiden-insiden seperti itu.
"Ini bukanlah kes pertama yang dilaporkan," kata Priscilla Ruth Marcus, yang telah dipanggil oleh ibu bapa kepada pelajar lelaki di Kota Marudu dalam insiden terbaru itu, untuk merujukkan perkara itu ke mahkamah.
Keratan akhbar New Sabah Times - 14 Januari 2020 |
"Arahan pelanggan saya adalah untuk mencabar kesahihan penukaran agama anak mereka. Dia masih di bawah umur," kata Priscilla.
"Ibu bapa itu tidak menyedari mengenai penukaran agama itu. Hati mereka berkecai apabila mereka mendapat tahu. Di waktu lepas, dua guru dari Semenanjung di SMK Lutong di Miri, Sarawak telah menukarkan agama seorang pelajar berusia 13 tahun ke agama Islam.
"Kementrian Pendidikan telah bertindak untuk mengakhiri episod itu oleh kerana sebarang usaha untuk menukarkan agama seorang anak di bawah 18 tahun kepada apa pun agama tanpa kebenaran ibu bapa adalah salah di segi undang-undang.
"Pelajar perempuan terbabit itu dari sebuah keluarga Kristian dan insiden itu telah menimbulkan kemarahan komuniti yang majoriti Kristian di Sarawak."
Kontroversi yang serupa telah terjadi di SMK Kinarut di Sabah apabila seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dilaporkan telah menukar agama kepada Islam.
Pesuruhjaya Polis Sabah ketika itu, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata bahawa siasatan mereka menunjukkan bahawa pelajar perempuan itu masih seorang Kristian dan belum menukar agama walaupun dia mengamalkan cara-cara Islam.
Ayahnya, Jilius Yapoo, dengan betul menegaskan bahawa anak perempuannya harus kekal seorang Kristian dan hanya boleh membuat keputusan mengenai agamanya setelah dia berusia 18 tahun.
Kes-kes ini kelihatan meneguhkan rasa bimbang di kalangan ibu bapa dari komuniti Kristian luar bandar di kedua-dua Sabah dan Sarawak mengenai apa yang akan terjadi jika mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah dengan kemudahan asrama. Jauh dari kampung halaman, ibu bapa perlu diberi keyakinan bahawa anak-anak mereka pergi untuk mendapatkan pendidikan dan bukannya suatu agama yang baru.
Meskipun mungkin secara semulajadi untuk guru-guru, terutama mereka yang kuat agama, untuk mengongsikan kepercayaan mereka dengan pelajar-pelajar, ibu bapa menganggap ini sebagai satu bentuk indoktrinasi.
Mereka berkata bahawa tanggungjawab guru-guru adalah untuk mengajar, dan dalam kes pelajar-pelajar asrama, untuk menjaga kebajikan mereka kerana pelajar-pelajar yang muda ini jauh dari kampung halaman.
Anak-anak itu masih dikira di bawah umur dan undang-undang amat jelas bahawa agama mereka ditentukan oleh ibu bapa mereka sehingga mereka berusia 18 tahun. Ianya juga adalah satu pelanggaran terhadap Akta Perlindungan Kanak-Kanak.
(Diterjemahkan daripada artikel Daily Express bertajuk, "Lawyers Urge Mahathir To Ban Students' Religious Conversion" yang ditulis oleh David Thien bertarikh 17 Januari 2020)