Foto keluarga Vilbon Madilan |
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri sedang menyiasat dakwaan bahawa seorang pelajar sebuah sekolah berasrama di Kota Marudu telah menukar agama ke Islam tanpa pegetahuan keluarganya.
"Ianya dalam siasatan," kata Pengarahnya, Mistirine Radin, ketika ditanya untuk mengulas perkara tersebut pada hari Selasa. Ayah kepada pelajar lelaki itu memberi amaran kepada semua ibu bapa dengan anak-anak di sekolah berasrama untuk sentiasa memerhatikan mereka.
Pelajar berusia 17 tahun itu dari SM Elopura Bestari dikatakan telah menukar agama pada 22 Oktober tahun lalu sejurus sebelum menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Upacara itu didakwa dilakukan oleh seorang Ustaz Fadhil Yosuf dan disaksikan oleh wardennya, bersama dengan empat pelajar.
Dilaporkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh ayahnya, Vilbon Madilan, 39, pada Januari terhadap perkara itu berdasarkan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992 yang menyatakan bahawa seseorang individu di bawah 18 tahun hanya boleh menukar agama ke Islam dengan izin ibu bapa atau penjaga mereka.
Vilbon telah mengatakan bahawa sekolah atau mana-mana pihak berkuasa agama seharusnya menghubungi keluarganya terlebih dahulu sebelum menjalankan upacara yang seperti itu. Vilbon berkata dia telah perasan bahawa anak lelakinya tidak lagi seperti dirinya yang biasa ketika mengambil anaknya selepas selesai peperiksaan SPMnya pada 28 November tahun lalu.
"Saya melihatnya membawa sejadah (tikar sembahyang orang Islam) dan berfikir dia membawanya untuk seorang kawan.
"Tetapi beberapa hari kemudian, saya menjumpai tikar itu tersembunyi di biliknya. Apabila saya cuba membawanya ke gereja pada hari Ahad, dia ikut bersama tetapi tidak memasuki bangunan gereja.
"Sebaliknya dia lari ke sebuah masjid berdekatan." Vilbon dan keluarganya adalah penganut Katolik. "Selagi saya hidup. dia adalah tanggungjawab saya. Dia adalah anak sulung saya dan selamanya begitu. Tuhan telah mengurniakan dia kepada saya," katanya.
"Jika dia ambil keputusan untuk menukar agama selepas cukup umur, itu adalah perkara lain, tetapi saya sangat marah bagaimana ini telah dilakukan secara senyap-senyap dan membelakangkan saya," katanya.
"Saya menekankan kepada ibubapa-ibubapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah berasrama untuk mempelajari daripada kawan-kawan mereka. Saya percaya apa yang saya sedang hadapi sekarang sedang dilakukan secara senyap-senyap.
"Saya seharusnya memberi perhatian yang lebih teliti sebelum ini. Bila mana saya cuba membawanya ke gereja, dia sentiasa mengatakan bahawa dia perlu mengikuti sesuatu aktiviti sekolah," katanya.
Dengan tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk mengambil tindakan undang-undang, Vilbon sedang menunggu jawapan dari polis daerah Sandakan tetapi bimbang penyiasatan hanya akan selesai selepas anak lelakinya mencapai usia 18 tahun yang akan merumitkan lagi perkara itu.
Pada 2015, seorang ayah telah membuat laporan polis mendakwa anak perempuannya telah menukar agama ke Islam tanpa izinnya semasa belajar di sekolah asrama di SMK Kinarut.
(Diterjemahkan daripada artikel Daily Express bertajuk, "Probe Into 'Secret Conversion' Of Student" bertarikh 15 Januari 2020)