Jumaat, 17 Januari 2020

Pertemuan Reinhard Bonnke Dengan Penginjil Terkenal George Jeffreys Yang Mengubah Hidupnya

Penginjil Reinhard Bonnke

Salah satu pelajar yang paling berjaya dan berhasil dari Bible College of Wales adalah penginjil Jerman, Reinhard Bonnke. Menerusi pelayanannya, Christ for All Nations, lebih 73 juta orang telah membuat keputusan yang telah dicatit untuk mengikuti Yesus Kristus. Bonnke bersaksi bahawa "Christ for All Nations" adalah visi yang sedang berkembang dan yang telah lahir dari suatu imej Afrika yang dibasuh dalam darah Yesus, dan telah mendedikasikan hidupnya untuk membawa Firman mengenai Salib kepada seluruh Afrika disertai kuasa dan pernyataan Roh Kudus. 

Reinhard Bonnke telah mengikuti pengajian di Bible College of Wales ketika dia berusia 19 tahun. Setelah tamat pengajiannya di Kolej Alkitab itu, dia mempunyai satu hari lapang untuk meluangkan masa di London dan telah menaiki sebuah bas bertingkat dua. Sambil bas dalam perjalanan, secara tiba-tiba dia merasakan Roh Kudus berkata kepada dia - "Turun dari bas ini."


Bonnke mentaati gerakan di hatinya dan mendapati dirinya berjalan di sepanjang salah satu jalanraya di London. Kemudian dia sampai ke satu papan tanda pada sebuah pintu rumah yang tercatit "George Jeffreys." Dia berfikir dalam hatinya mungkinkah ini rumah George Jeffreys yang terkenal, seorang penginjil Wales yang telah mengasaskan Elim Pentecostal Alliance di Britain. George Jeffreys dianggap sebagai salah satu penginjil terulung Britain selepas Charles Wesley dan George Whitefield, dan dia juga telah diselamatkan dan ditransformasikan semasa Kebangunan Rohani Wales.

Penginjil terkenal, George Jeffreys

Bonnke merasa kurang pasti dan pada waktu itu juga Roh Kudus berkata kepadanya, "Engkau tidak akan tahu jika tidak bertanya`" Oleh itu dia pun mengetuk pintu dan seorang wanita datang ke muka pintu. Bonnke bertanya adakah rumah itu milik George Jeffreys, iaitu George Jeffreys yang telah menggoncangkan England, dan wanita itu menjawab ya.

"Adakah dia masih hidup?"

"Ya."

"Adakah dia tinggal di rumah ini?"

"Ya."

"Dia sekarang ada di rumahkah?"

"Ya."

"Bolehkah saya berjumpa dengannya?"

"Tidak."

Ketika itu dia mendengar suatu suara yang datang dari dalam rumah, "Biarkan dia masuk." Ketika dia melangkah masuk rumah itu, dia melihat seorang lelaki tua yang lemah dan selepas beberapa waktu pengenalan diri, Encik Jeffreys menumpang tangannya ke atas Bonnke dan memberkatinya. Bonnke terhuyung-hayang keluar dari pintu kerana hadirat Tuhan yang memenuhinya.

Dia kemudiannya meninggalkan London untuk kembali ke Jerman pada keesokan harinya dan ayahnya bertemu dengannya di stesen keretapi. Ayahnya berkata, "Reinhard, kamu sudah dengarkah berita itu?" "Berita apa?" "George Jeffreys baru saja meninggal dunia." "Tidak, tak mungkin. saya baru saja bersama-sama dengannya." Dengan tiba-tiba dia menyedari bahawa dia telah menangkap sesuatu daripada generasi yang lepas. Satu generasi sedang berlalu dan telah menyampaikan jubah mereka kepada generasi akan datang.

 

Reinhard Bonnke kemungkinan adalah penginjil terhebat yang pernah kita saksikan dalam generasi kita. Dia telah menyaksikan lebih ramai orang diselamatkan berbanding sesiapa pun yang masih hidup. Dan dia telah dianggap layak menerima jubah dari seorang penginjil terulung dan tindakannya yang taat telah meletakkannya di tempat yang tepat untuk menerima rahmat dari Tuhan.

(Diterjemahkan daripada artikel Bible College of Wales bertajuk, "The Most Successful Student")