Jumaat, 7 Februari 2020

Pastor Dari Wuhan: Doakan Kami Di Tengah Wabak Virus Korona


Seorang pastor dari Wuhan, kota di wilayah Hubei, China di mana asalnya virus korona, telah menulis sepucuk surat yang panjang memohon doa. Pastor itu memohon agar orang-orang percaya akan berdoa bukan sahaja agar Tuhan melindungi orang ramai daripada penyakit itu tetapi juga agar Dia membawa kedamaian kepada mereka yang sedang menderita semasa ujian ini. 

"Keadaannya kritikal," tulisnya, "namun begitu (kami) percaya pada janji-janji Tuhan, bahawa rancangan-Nya terhadap kami adalah damai sejahtera dan bukannya kecelakaan (Yer 29:11), dan bahawa Dia mengizinkan suatu tempoh pencubaan, bukan untuk membinasakan kami, tetapi untuk meneguhkan kami. Dengan itu, orang-orang Kristian bukan sahaja menderita bersama orang-orang di kota ini tetapi kami memiliki tanggungjawab untuk berdoa bagi mereka di kota ini yang ketakutan, dan membawa mereka kepada damai Kristus."

Surat itu telah diterbitkan di China Source bertarikh 23 Januari 2020 dan telah ditandatangani oleh seseorang yang hanya mengenalkan diri sebagai "Pastor dari Wuhan." Pada permulaan surat itu, pastor itu mengatakan bahawa virus korona itu sering terlintas di fikirannya. Dia sentiasa khuatir untuk keselamatan anggota-anggota gerejanya dan berharap mereka akan bertahan dalam "kesaksian mereka yang setia" terhadap Kristus. Pastor itu memberikan banyak kata-kata yang mendorong kepada mereka yang merasa takut dan kecewa kerana virus itu. 

Pertamanya, dia berkata Yesus telah membawa damai untuk pengikut-pengikut-Nya melalui kematian dan kebangkitan-Nya. Melalui kuasa-Nya, Dia telah mengalahkan penyakit dan maut. Jika bukan kerana pekerjaan Kristus, kita akan menjadi seperti dunia dan akan "menjadi gerun pada wabak berbahaya, dan hilang pengharapan ketika berhadapan dengan maut." 

Tetapi mereka yang telah percaya pada Kristus dapat merasa terjamin bahawa "wabak berbahaya Wuhan ini tidak dapat memisahkan kita daripada kasih Kristus... Oleh itu Kristus beserta kita sambil kita menghadapi wabak berbahaya di kota ini; wabak ini tidak dapat membinasakan kita. Jika kita mati dalam wabak berbahaya ini, ianya adalah kesempatan untuk bersaksi bagi Kristus, dan lebih lagi untuk memasuki kemuliaan-Nya."

Pastor itu menyeru kepada mereka yang kekurangan damai untuk merenungkan beberapa ayat Alkitab yang telah disenaraikannya dalam suratnya dan untuk berdoa, memohon kepada Tuhan untuk pertolongan. "Kita mesti sedari," katanya, "bahawa ini bukan hanya suatu bencana yang dapat dilihat, tetapi lebih lagi ianya adalah suatu pergelutan rohani. Kita harus pertamanya berjuang untuk mempertahankan hati kita, dan yang keduanya berdoa untuk jiwa di kota ini."

Pastor itu menekankan bahawa virus korona ini tidak terjadi di luar kehendak Tuhan, dan membandingkan orang-orang percaya di Wuhan dengan Abraham dan Yunus dan usaha-usaha mereka bagi pihak masing-masing Sodom dan Gomora serta Niniwe. "Kita adalah Abraham dan Yunus untuk kota ini," katanya. "Kita mesti berdoa untuk rahmat Tuhan bagi kota ini, dan membawakan damai ke kota ini melalui doa dan kesaksian kita." 

Mereka yang tidak rasa tergerak akan keadaan di Wuhan, kata pastor itu, harus berseru kepada Tuhan untuk mengubah hati mereka. "Jika anda tidak rasa bertanggungjawab untuk berdoa, " kata pastor itu, "mintalah kepada Tuhan untuk memiliki jiwa yang penyayang, hati yang berdoa dengan ikhlas; jika anda tidak menangis, mintalah kepada Tuhan untuk air mata. Sebabnya kita tahu bahawa pastinya hanya melalui harapan pada rahmat Tuhan, kota ini akan diselamatkan."

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel hurch Leaders bertajuk, "Wuhan Pastor: The Coronavirus Fight Is Also A Spiritual Battle" yang ditulis oleh Jessica Mouser bertarikh 5 Februari 2020)