Selasa, 17 Mac 2020

Malaysia Catat Kematian Pertama Covid-19 Di Sarawak


PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan kematian pertama akibat Covid-19 apabila seorang lelaki berusia 60 tahun di Sarawak meninggalkan dunia.’Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengumumkan seorang pastor di Gereja Emmanuel Baptist di Kuching meninggal dunia 11 pagi tadi di Hospital Umum Sarawak.
“Jabatan Kesihatan negeri masih dalam proses mengenal pasti sumber jangkitannya,” kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak dalam kenyataan hari ini.
Pastor David Cheng Lip Kiong yang meninggal dunia di Sarawak kerana Covid-19

Katanya, 193 kontak rapat pastor itu sudah dikesan dan sedang menjalani kuarantin di rumah.
Jawatankuasa itu berkata, 11 kes baru direkodkan di Sarawak hari ini dengan 6 dari Kuching, 3 di Limbang dan masing-masing satu di Betong serta Lawas.
“Mereka kini dirawat di 3 hospital khusus, iaitu Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu dan Hospital Miri.
“Buat masa ini, 45 kes Covid-19 di Sarawak dikesan kepada 4 kluster.”
Satu daripada kluster itu dikaitkan dengan ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu, manakala selebihnya membabitkan kluster di Gereja Emmanuel Baptist di Kuching, kluster Sarikei dan satu lagi kluster di Kuching yang sumbernya belum dikenal pasti.
“Sarawak hari ini merekodkan 35 pesakit dalam siasatan (PUI), manakala 204 pesakit masih menunggu hasil ujian.”
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Malaysia Catat Kematian Pertama Covid-19 Di Sarawak" bertarikh 17 Mac 2020)