Jumaat, 10 April 2020

J. Lee Grady: "Orang-Orang Kristian Tak Harus Terima Gambaran Penyeksaan dan Penyaliban Yesus Yang Telah Ditapis"


Untuk memahami dan menyelami sepenuhnya pengorbanan besar yang Yesus lakukan untuk menyelamatkan manusia daripad dosa, orang-orang Kristian telah disarankan untuk merenungkan kesakitan yang amat sangat yang ditanggung oleh Yesus pada hari Dia dipaku ke kayu salib 2,000 tahun yang lalu. 

Dalam sebuah artikel, J. Lee Grady, seorang pengarang buku Kristian dan bekas pengarang Charisma, berkata bahawa orang-orang Kristian tidak harus menerima gambaran penyeksaan dan penyaliban Yesus yang telah ditapis tetapi sebaliknya mempersiapkan diri untuk menonton gambaran ganas yang berdarah, seperti yang ditunjukkan dalam filem epik oleh Mel Gibson "The Passion of the Christ."

Filem "The Passion of the Christ"

Dengan mengingat kembali segala kekejaman yang dialami Yesus di bawah askar-akar Rum, orang-orang Kristian dapat memahami dengan lebih baik dasar iman mereka.

Grady berkata ada sesetengah Kristian yang mungkin membantah gambaran ganas penyeksaan dan kematian Yesus dalam filem Gibson. Tetapi itulah yang sebenarnya penderitaan Yesus pada Hari Paskah, suatu acara yang "dilumuri darah dan mengerikan untuk ditonton."

Grady menyatakan bahawa tubuh Yesus yang telah didera itu tidak dibedah siasat selepas diturunkan dari salib. Namun begitu, doktor-doktor yang telah mengkaji gambaran daripada Alkitab mengenai kematian-Nya berkata kesakitan yang dialami-Nya adalah lebih daripada amat menyakitkan. "Hakikatnya perkataan Inggeris 'excruciating' (teramat sakit) bererti 'out of the cross' (berasal dari salib). Yesus secara nyata memaparkan kesakitan yang paling teruk yang boleh dialami oleh sesiapapun," Grady menulis.


Penderitaan Yesus bermula di Getsemani, ketika Allah memberitahu-Nya pengorbanan besar yang Dia harus lakukan untuk menyelamatkan dunia dari dosa. Ibrani 5:7 mengatakan bahawa Yesus telah berdoa "dengan ratap tangis" setelah mengetahui apa yang akan dihadapi-Nya. Penderitaan yang dialaminya begitu kuat sehingga peluh Yesus menjadi "seperti darah menitik ke tanah (Luk 22:44, AVB). "Stres yang amat sangat itu menyebabkan apa yang para doktor mengelarkan sebagai hematidrosis, satu keadaan di mana darah menyisip keluar dari kelenjar peluh," kata Grady.

Berikutan penangkapan-Nya, askar-askar Rum telah menyesah Yesus dengan tanpa belas kasihan sehingga kulitnya terobek dari bahagian belakang tubuhnya, mendedahkan otot dan tulang. "Askar-askar yang menyeksa Yesus menggunakan senjata yang dipanggil 'flagellum' - tali sesah yang terdiri daripada beberapa tali kulit dengan bebola tembaga dan serpihan tulang yang terlekat di hujungnya.


Yesus pastinya telah kehilangan banyak darah selepas disesah, itulah sebabnya Dia tidak memiliki kekuatan lagi untuk memikul salib-Nya untuk seluruh perjalanan ke Golgota.

Matius 27:28-29 menyatakan askar-askar Rum menelanjangkan Yesus dan membentuk suatu mahkota duri untuk mengolok-olokkannya sebagai raja. "Sarjana-sarjana Alkitab percaya bahawa duri-duri itu amat panjang dan keras. Apabila duri-duri itu menyucuk di bahagian atas dan tepi kepala-Nya, Yesus kemungkinan akan mengalami apa yang doktor panggil "trigeminal neuralgia" - kesakitan yang tajam di seluruh kepala dan mukanya," kata Grady.


Askar-askar itu kemudiannya membawa Yesus ke Golgota di mana mereka memakukan paku besi tujuh inci ke dalam pergelangan tangan-Nya. Itu kemungkinan besar telah mengena saraf mediannya, menyebabkan lebih lagi kesakitan yang kuat. Askar-askar yang tiada belas kasihan itu juga memakukan kaki-Nya.

"Pada peringkat itu, doktor-doktor berkata, Yesus telah pun terseliuh bahu-Nya. kekejangan otot dan mengalami dehidrasi dari kehilangan darah yang banyak, mempunyai cairan dalam paru-paru-Nya dan akhirnya paru-paru serta jantung yang gagal berfungsi lagi," kata Grady.

Untuk mengurangkan kesakitan-Nya, para penghukum-Nya menyuruh-Nya meminum anggur bercampur empedu, satu campuran yang mengurangkan kesakitan (Matius 27:34). Tetapi Yesus enggan, Dia memilih untuk menanggung kesakitan yang sepenuhnya.

"Dia merasakan kesakitan itu untuk kita," Grady menyatakan.

Sambil Yesus menghembuskan nafas-Nya yang terakhir di kayu salib, Dia berkata, "Sudah selesai."


"Yesus secara rela mencurahkan darah-Nya ke atas salib yang kejam itu. Itu adalah babak yang buruk dan menjijikan. Kita tidak perlu mengurangkan keganasannya atau mengurangkan suara jeritan batinnya. Alkitab tidak melembutkan kesannya atau menapis kekejaman dalam penderitaan Yesus," kata Grady.

Grady mengongsikan Yesaya 53: "Tetapi dia terluka oleh sebab segala pelanggaran kita, dia dihancurkan oleh sebab segala kesalahan kita."

Orang-orang Kristian harus selalu mengingati bahawa Yesus "telah menanggung segala kesakitan itu untuk membayar sepenuhnya harga supaya kita diampuni," kata Grady.

(Diterjemahkan daripada artikel Christian Today bertajuk, "J. Lee Grady: Christians Should Not Settle For A 'Sanitized' Version of The Passion of Christ" yang ditulis oleh Hazel Torres bertarikh 26 Mac 2016)