Sabtu, 18 Julai 2020

JI Packer, Pengarang "Knowing God" Meninggal Dunia Pada Usia 93 Tahun


Ahli teologi evangelikal dan pengarang bestseller yang dihormati, James Innell "J.I." Packer meninggal dunia pada 17 Julai di Vancouver, British Columbia. Dia berusia 93 tahun.

Packer telah menulis 47 buku, termasuk Evangelism and the Sovereignty of God (1961), Keep in Step With the Spirit (1984), A Quest for Godliness: The Puritan Vision of the Christian Life (1994) dan Weakness Is the Way (2013). Buku tahun 1973 yang ditulisnya, Knowing God, adalah salah satu buku Kristian paling laris sepanjang zaman. Crossway dijangka melancarkan buku terakhirnya, The Heritage of Anglican Theology, pada 2021. Dia mengarang bersama 19 buku yang lain. Dia adalah seorang pengarang di Christianity Today selama lebih 30 tahun, dan ketua editor Alkitab English Standard Version Bible.

Pada 2005, majalah Time menamakan Packer sebagai salah seorang daripada 25 Evangelikal Paling Berpengaruh.

Dia mengajar Bahasa Yunani di Oak Hill Theological College di London dan kemudiannya belajar teologi di Wycliffe Hall, Oxfrd, di mana dia telah menerima ijazah-ijazah M.A. dan D.Phil.

Setelah melayani dalam pelayanan gereja setempat, dia menjadi perpustakawan di Latimer House di Oxford. Pada 1970, dia menjadi pengetua di Tyndale Hall dan pada 1971, profesor madya Trinity College di Bristol. Di Regent College, Vancouver, dia adalah pengetua pengasas dan ahli fakulti pertamanya untuk memegang Sangwoo Youtong Chee Chair of Theology. Dia mengajar beberapa kelas, termasuk Systematic Theology and Puritan Theology.

Anak seorang kerani stesen keretapi di Gloucester, England, Packer membesar dalam keluarga Anglikan dan kemudiannya menjadi seorang paderi Anglikan. Dia menjadi seorang Kristian ketika belajar di Oxford University melalui pengaruh InterVarsity Fellowship dan St Aldate's Anglican Church.

"Ketika dia masih menulis secara harian, Jim menulis 2,000 perkataan (dengan mesin taip manual kesayangannya)," menurut obituari yang diterbitkan oleh Regent College. "Ketika ditanya jika dia inginkan kamus dimuat naik ke dalam iPadnya (sebuah gajet yang digunakannya apabila penglihatannya semakin memburuk), dia tersenyum secara malu-malu dan mengakui, "Setakat ini saya belum perlukannya." 

Dia mengumumkan persaraannya dari pelayanan umum pada 2016 kerana kebutaan dari kemerosoton macular.

Packer meninggalkan isterinya, Kit; tiga anak mereka, Ruth, Naomi dan Martin; dan dua cucu. 

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma News bertajuk, "'Knowing God' Author JI Packer Dies At 93" yang ditulis oleh Christine D. Johnson bertarikh 18 Julai 2020)