Yeoh mendakwa kenyataan Musa pada forum di Universiti Teknologi Mara pada 31 Januari lepas adalah fitnah dan berniat jahat.
“Kenyataan Musa dibuat dengan niat jahat untuk merosakkan
reputasi saya dan mendedahkan saya kepada kecaman awam. Kenyataan ini bertujuan
merosakkan saya dari segi politik,”: katanya.
Musa, yang merupakan ketua polis negara dari 2006 hingga
2010, didakwa memberitahu forum bahawa kumpulan yang tidak dinamakan berusaha
memusnahkan Islam di negara ini.
Beliau dilaporkan mendakwa telah membuat kajian dan
mendapati wujudnya hubungan antara kumpulan evangelis Kristian dengan DAP.
Beliau juga didakwa berkata, Yeoh menulis sebuah buku “untuk
menjadikan negara ini sebuah negara Kristian”.
Yeoh merupakan ahli Parlimen Segambut dan bekas timbalan
menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
Sebelum itu beliau adalah Adun Subang Jaya dan bekas speaker
Dewan Undangan Negeri Selangor.
Autobiografinya berjudul “Becoming Hannah: A Personal
Journet”, yang diterbitkan pada 2014 memperihalkan perjalanan hidupnya sebagai
seorang wanita Malaysia biasa yang berubah susulan kepercayaan sebagai seorang
penganut agama Kristian yang membawanya ke dunia politik.
Pada 2017 buku itu mendapat kritikan seorang penganalisis
politik dari Universiti Utara Malaysian yang menyifatkannya sebagai contoh
sikap pura-pura DAP berhubung dasarnya yang dikatakan memisahkan agama dengan
politik.
Dalam samannya, Yeoh berkata, forum di UiTM yang dihadiri
oleh Musa itu disiarkan secara langsung di Facebook dan dilihat lebih 14,000
pengunjung.
Katanya, kenyataan Musa itu dilaporkan oleh portal berita
berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
Yeoh menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Musa
dan injunksi bagi menghalang beliau dan pihak lain terus menerbitkan kenyataan
tersebut.
Kes ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Tinggi esok.
Pengganti Musa, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata polis
akan menyiasat kenyataan Musa selepas menganalisis rakaman video forum
tersebut.