Dia juga memaklumkan bahawa umat Kristian yang tinggal di kawasan yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) atau PKP pemulihan (PKPP) dibenarkan mengunjungi gereja masing-masing pada 24 dan 25 Disember ini sempena perayaan Krismas.
“Penganut Kristian hanya dibenarkan melakukan upacara
sembahyang pada 24 dan 25 Dis di kawasan-kawasan yang dilaksanakan PKPP dan
PKPB,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Ismail Sabri berkata, mereka turut dibenarkan untuk saling
mengunjungi pada hari pertama Krismas. Bagaimanapun, lawatan di rumah hanya
untuk anggota keluarga terdekat sahaja, dan jumlah pengunjung adalah bergantung
kepada ukuran kediaman
Bagi umat Kristian yang tinggal di kawasan yang ditempatkan
di bawah PKP diperketatkan (PKPD), aktiviti berkenaan tidak dibenarkan.
Dia berkata peraturan itu merupakan sebahagian daripada
Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi sambutan Krismas kali ini.
Sambutan hari pertama perayaan Krismas di rumah
kediaman landed adalah dibenarkan dengan kehadiran tidak lebih 20
orang yang terdiri dalam kalangan keluarga terdekat.
Ismail Sabri berkata, bagi rumah kediaman strata dengan
keluasan kurang 1,500 kaki persegi pula, jumlah tetamu dalam satu-satu masa
tidak dibenarkan melebihi 10 orang, manakala maksimum 15 orang bagi kediaman
dengan keluasan 2,500 kaki persegi ke atas.
SOP Di Rumah Ibadat
Mengulas lanjut mengenai SOP di rumah ibadat sempena perayaan itu, Ismail Sabri berkata kaunter saringan kesihatan pengunjung di pintu masuk perlu diadakan bertujuan mengehadkan bilangan kehadiran pengunjung, selain wajib memeriksa suhu badan dan saringan gejala.
Katanya pada 24 Dis, upacara sembahyang perlu diadakan
bermula 5 petang sehingga 9.30 malam dengan pembahagian dua sesi dengan setiap
sesi selama satu jam 30 minit dan diselangi dengan operasi sanitasi selama 45
minit, sebelum memulakan sesi baharu.
“Pada 25 Dis pula, upacara sembahyang perlu diadakan bermula
7 pagi sehingga 1.45 tengah hari dengan pembahagian sebanyak tiga sesi sahaja
(satu jam 30 minit setiap sesi) dan diselangi dengan operasi sanitasi selama 45
minit sebelum memulakan sesi baharu,” katanya.
Beliau berkata upacara sembahyang di minor basilica,
cathedral, gereja dan chapel hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP Pembukaan Rumah
Ibadat yang telah ditetapkan dan tertakluk kepada keluasan ruang rumah ibadat
tersebut dengan pematuhan penjarakan fizikal.
Bagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan
Diperketatkan (PKPD) beliau berkata upacara sembahyang dan aktiviti ziarah
adalah tidak dibenarkan, manakala sambutan perayaan dibenarkan bagi seisi
keluarga dalam rumah yang sama sahaja.