Rabu, 8 September 2021

Akta Sekat Agama Bukan Islam: Majlis Pelbagai Agama Mahu Penjelasan PM


Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberikan penjelasan berhubung rancangan menguatkuasakan undang-undang baru bagi mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam.

Kata MCCBCHST, kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam), Ahmad Marzuk Shaary berhubung undang-undang baru itu menyebabkan “kegelisahan besar” warga bukan Islam.

“MCCBCHST menggesa perdana menteri menjelaskan isu ini sebelum ia menyebabkan kegelisahan lebih besar dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ahmad Marzuk mendedahkan bahawa rang undang-undang (RUU) bagi Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sedang digubal.

Kandungannya sehingga kini belum diketahui.

Bagaimanapun, Ahmad Marzuk berkata ia dikemukakan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah "Allah".

MCCBCHST berkata hak warga bukan Islam untuk menyebarkan agama - asalkan tidak disebarkan kepada orang Islam - adalah dilindungi bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sejumlah RUU syariah yang dimaksudkan Ahmad Marzuk belum dibawa ke peringkat kabinet memandangkan ia perlu mendapat persetujuan semua negeri terlebih dahulu.

Wan Junaidi juga mengambil maklum bahawa hampir semua negeri sudah ada undang-undang sendiri seumpamanya berkenaan kawalan pengembangan agama bukan Islam, kecuali beberapa negeri sahaja.

Negeri yang belum mempunyai undang-undang sedemikian ialah Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Akta Sekat Agama Bukan Islam: Majlis Pelbagai Agama Mahu Penjelasan PM" bertarikh 8 September 2021)