Selasa, 10 Januari 2023

Dari Tuaran Ke Kuala Lumpur...


Inilah ingatan saya dari perbualan dengan seorang gadis Tuaran dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur.

Saya masih ingat pada tahun itu, saya menaiki pesawat dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur.

Saya terus mencari tempat duduk saya dan mendapati seorang gadis muda lingkungan usia dua puluhan sudah terduduk di sebelah tempat duduk saya. 

Saya duduk di tempat saya dan mengeluarkan buku dari beg kecil. Saya sudah siap untuk penerbangan kali ini - dengan buku sebagai peneman perjalanan!

Saya tidak bercakap apa-apa dengan gadis yang duduk di sebelah saya (selain hanya "hello" ketika mengambil tempat duduk). Terasa agak janggal juga untuk bercakap dengan seseorang yang tidak saya kenali.

Saya membaca buku saya sepanjang perjalanan tetapi beberapa kali terlintas dalam fikiran untuk bertegur sapa dengan penumpang di sebelah saya. Namun saya mengabaikan fikiran itu. Seganlah nak cakap dengan orang yang tidak dikenali, lebih-lebih lagi seorang gadis.

Namun fikiran itu seperti berulang kembali sehingga saya susah nak fokus dengan buku saya. Jadi akhirnya, saya mengalah kepada dorongan itu dan bertegur sapa dengan penumpang di sebelah apabila pernerbangan sudah hampir tiba ke destinasi (mungkin lebih kurang 30 minit untuk tiba di KLIA). 

Saya mula berbual dengan gadis itu dan mendapat tahu dia berasal dari Tuaran dan sedang bekerja di Lembah Kelang. Saya tanya adakah dia ke gereja dan dia menjawab ya. Dia memberitahu bahawa dia dahulu biasa menaiki dan menukar tiga kali perjalanan tren dan bas untuk sampai ke gerejanya di Kuala Lumpur. Tapi kini gerejanya sudah ada cawangan yang lebih dekat dan lebih mudah untuknya ke gereja. 

Gadis itu terus menceritakan kegembiraannya ada gereja yang berdekatan dan pastor yang baharu melayani di situ. Dia memberitahu saya bahawa dia telah meminjam keretanya kepada pastor agar pastor itu lebih mudah melakukan pelayanan. 

Saya merasa kagum di hati ketika mendengar ceritanya. Wah sanggup menukar tren dan bas tiga kali untuk pergi ke gereja setiap minggu. Ini hal yang kurang saya dengar. Dan kini dia rela meminjamkan keretanya untuk membantu pelayanan pastor yang baharu di tempatnya. 

Gadis itu bercerita lagi. Sebelum itu dia telah mengikuti pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi di Lembah Kelang. Pada suatu hari, ketika dia masih pelajar baharu, dia telah pergi ke perpustakaan universitinya. Tiba-tiba seorang pelajar lelaki muncul dan duduk bertentangan dengannya di meja perpustakaan itu. Lelaki itu bertegur sapa dengannya. Dia memperkenalkan diri, dia adalah pelajar senior di universiti itu. Dan dia mula berbual-bual dan kemudian mula menanya beberapa soalan kepada gadis itu. 

Soalan-soalan itu berkenaan iman dan agama gadis itu. Soalan-soalan yang mempersoalkan iman dan kepercayaan gadis itu. Gadis itu terkejut dengan soalan-soalan yang dilontarkan kepadanya. Dia tidak dapat menjawab beberapa soalan itu. Namun begitu lelaki itu masih terus menyoalnya beberapa hal lagi yang seperti itu. Akhirnya, gadis itu menjawab, "Saya tidak tahu bagaimana untuk menjawab semua soalan kamu, tapi saya tahu Tuhan yang saya sembah." 

Jawapan itu telah berjaya menghentikan soalan-soalan yang bertalu-talu itu. Meskipun gadis itu tidak dapat menjawab semua soalan itu tapi dia kenal Tuhan yang dia sembah.

Kapal terbang sudah hampir tiba di KLIA, dan pramugari mengumumkan bahawa pendaratan akan berlaku sebentar lagi.

Kami berbual-bual sehingga kapal terbang mendarat. Ada lagi yang saya ingin bertanya gadis itu tetapi pesawat sudah mendarat dan para penumpang mulai berdiri untuk mengambil beg mereka di tempat letak beg di bahagian atas tempat duduk. 

Tiba-tiba pengumuman kedengaran melalui intercom kapal terbang, "Diminta para penumpang duduk kembali di tempat duduk. Sila tunggu untuk pengumuman lanjut sebelum penumpang dibenarkan turun dari kapal terbang." Saya dapat mendengar suara keluhan daripada sebahagian penumpang yang tak sabar nak turun kapal terbang. 

Kami duduk semula di tempat duduk. Rupanya saya ada kesempatan lagi berbual-bual dengan gadis itu. Saya bertanyakan bagaimana dia mula mengenal Tuhan dalam hidupnya. Dia memberitahu dia memang lahir dalam keluarga Kristian. Dia menceritakan detik yang penting dalam kehidupannya ketika dia mengikuti persekutuan pelajar-pelajar Kristian di sekolah menengah di Tuaran, dan seorang pengajarnya mengajaknya untuk berdoa menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamatnya. Dia masih ingat doa itu. Sejak waktu itu dia amat tertarik dengan pelayanan Kristian dan menyertai acara pelayanan bersama kawan-kawan dan ahli-ahli gerejanya. 

Tak lama kemudian, pengumuman kedengaran lagi dari intercom bahawa para penumpang kini boleh bersedia untuk turun kapal terbang. Para penumpang mulai keluar tempat duduk dan berbaris untuk keluar kapal terbang. Kami saling mengucapkan selamat jalan dan mulai keluar dari pesawat.

Selepas turun kapal terbang, saya bergegas ke platform bas di KLIA untuk menaiki bas ke Stesen Sentral. Bas sudah menanti dan saya menaiki bas. Sambil duduk di bas itu, saya memikir kembali dengan kagum bagaimana Tuhan telah mengizinkan kami menghabiskan perbualan kami. Saya tak pernah mengalami diminta menunggu dalam pesawat yang sudah mendarat lebih dari lima minit. Tapi pada hari itu, semua penumpang terpaksa menunggu lebih kurang 20 minit sebelum dibenarkan turun kapal terbang.

Mungkin kerana saya terlambat memulakan perbualan dengan gadis itu dan hampir tidak sempat mendengar keseluruhan ceritanya, tetapi Tuhan telah memberikan saya "masa tambahan" untuk mendengar habis ceritanya.

Bahagian terakhir cerita itulah yang paling penting dalam kisahnya. Mengapakah dia begitu bersungguh-sungguh pergi ke gereja walaupun terpaksa menukar tren dan bas sebanyak tiga kali? Mengapakah dia sudi meminjamkan kereta untuk kegunaan pastornya? Mengapakah dia dapat menjawab soalan-soalan seniornya di perpustakaan? Saya fikir jawapannya ialah dia sudah mengenal Yesus dalam hidupnya sejak sekolah menengah di Tuaran.  

Saya sudah lupa nama gadis itu, tapi saya akan selalu ingat kisah gadis dari Tuaran itu. 

- Si Domba Putih