Rabu, 22 Mac 2023

Aku Hanya Dapat "One Thing, One Place at One Time"


Aku Hanya Dapat "Satu Perkara, Satu Tempat pada Satu Masa"

Di media sosial dan di mana-mana saja anda akan membaca mengenai filem "Everything, Everywhere All At Once" yang telah memenangi 7 anugerah Oscar baru-baru ini termasuklah Oscar untuk pelakon wanita terbaik bagi Michelle Yeoh, yang berasal dari Ipoh, Malaysia.

Aku bukan menulis mengenai filem itu. Yang aku nak tulis adalah mengenai suatu mimpi yang aku alami beberapa tahun yang lepas.

Dalam mimpi itu, aku bersama sekumpulan muda-mudi di gereja, kemudian dengan sekumpulan lain anggota-anggota gereja pula.

Semasa bersama mereka, aku dapat rasa bahawa aku perlu pergi lagi untuk menyertai kumpulan lain, ertinya aku tidak dapat sepenuh masa bersama satu-satunya kumpulan itu.

Aku terbangun dari tidur, agak terkejut tetapi juga dengan cepat mengerti maksud mimpi itu. 

Seolah-olah Tuhan memberikanku suatu mesej bahawa aku tidak dapat memenuhi sepenuhnya semua keperluan dalam setiap kelompok yang aku layani sebab aku tidak dapat berada bersama mereka setiap waktu.

Langsung aku sedar bahawa jika keadaan adalah seperti itu, aku perlu melatih pemimpin dan pelayan-pelayan yang kuat dalam setiap kelompok supaya mereka dapat memimpin dan melayani sewaktu aku tidak bersama dalam kelompok itu.

Hakikatnya, aku hanya dapat berada di satu tempat pada suatu masa, tetapi jika terdapat pasukan pelayan dalam setiap kelompok dan pelayanan, maka aku tidak perlu risau sebab mereka ada di situ untuk melakukan pelayanan. Aku hanya perlu menyelia serta memberi bimbingan dan bantuan di mana perlu kepada pasukan pelayan-pelayan itu.

Sebab sesungguhnya aku hanya dapat melakukan satu perkara, di satu tempat pada satu waktu.

Itulah penting untuk melatih pasukan pelayan di setiap kelompok.


Sambil aku menulis ini, aku kagum bahawa Tuhan sedang pun membantuku membina pasukan pelayanan sejak mimpi itu dalam beberapa bidang yang aku ceburi.

- Si Domba Putih