Selasa, 21 Mac 2023

Berani Kerana Benar, Kata Hannah Yeoh Selepas Beri Keterangan


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Kuala Lumpur kira-kira pukul 5.30 petang hari ini.

Ini bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran program 'Jom Ziarah Gereja' oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Saya telah hadir di IPD Sentul ditemani peguam saya Sangeet Kaur Deo dan Harshaan Zamani untuk merekodkan statement saya bagi membantu siasatan polis mengenai fitnah jom ziarah gereja dan KBSMalaysia yang telah dilontarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

"Berani kerana benar," kata Yeoh pada satu hantaran di Facebook malam ini.

Tertakluk ikut negeri

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai dipetik Bernama mengesahkan Yeoh telah hadir memberi keterangan hari ini bagi membantu siasatan.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata satu kertas siasatan dibuka membabitkan penganjuran program itu walaupun ia telah dibatalkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd NaĆ­m Mokhtar pada 18 Mac lalu berkata keputusan untuk membenarkan pelaksanaan Program 'Jom Ziarah Gereja' tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri.


Mohd Na’im berkata dia menghormati sebarang keputusan kerajaan negeri tentang perkara tersebut.

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sebelum ini memaklumkan pihaknya perlu dirujuk apabila melibatkan program mengajak umat Islam melawat rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.

Bagaimanapun, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melarang perkara tersebut di negeri berkenaan.

Sebelum ini, Projek Artikel 11" salah satu inisiatif #MalaysiaInklusif oleh Impact Malaysia mencetuskan kontroversi apabila dituduh segelintir pihak sebagai program evangelis Kristian.

Program Jom Ziarah ke Masjid

Bagaimanapun, Impact Melaysia menjelaskan projek itu bertujuan meningkatkan persefahaman golongan muda dalam aspek kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

Projek Artikel 11 mempunyai dua gerak kerja. Pertama, lawatan menerusi program Jom Ziarah di mana belia akan dapat menziarahi rumah ibadat yang berlainan daripada agama sendiri untuk tujuan melihat persamaan nilai dan perbezaan agama.

Kedua, belia mengikuti aktiviti kesukarelawanan untuk membantu golongan rentan yang dianjurkan oleh pertubuhan kebajikan berasaskan agama, supaya belia dapat memahami bahawa semua agama mempunyai persamaan dari segi nilai murni dan menganjurkan inisiatif bersifat kebajikan.

Setakat ini, program Jom Ziarah telah membawa lapan belia Cina dan India ke Masjid Wilayah di Kuala Lumpur pada 4 Mac serta tiga belia Cina ke Gurdwara Sahib di Shah Alam pada 11 Mac lalu.

Dua program yang dijadual tetapi telah dibatalkan adalah "Jom Ziarah Gereja" yang kini menjadi subjek siasatan polis dan "Jom Ziarah Kuil Hindu."

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan tuduhan agensinya menjalankan program berkaitan ‘Kristianisasai’ susulan rancangan "Jom Ziarah Gereja" dan "Jom Ziarah Kuil Hindu.”

Menterinya Hannah Yeoh membalas dakwaan tersebut dengan menggunakan hujah pernah disuarakan pemimpin PAS.

Yeoh berkata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen PAS dan PN - pada 2 Okt 2018 - pernah menyebut, tidak salah orang Islam masuk kuil terima kalungan.


Menjelaskan lebih lanjut Yeoh turut memetik kenyataan dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Katanya, ahli parlimen Marang itu sendiri pernah melawat gereja di Miri, Sarawak pada 2015.

Ketika itu, Abdul Hadi berkata perbincangan dua hala dan saling bertukar-tukar fikiran amat menarik.

"(Ini) sebahagian daripada usaha mendekatkan percambahan minda antara agama Islam dan Kristian serta mengeratkan hubungan dalam masyarakat majmuk khususnya di Sarawak," kata presiden PAS menjelaskan pertemuannya bersama Augustine, naib pengerusi Majlis Gereja Anglikan St Columba Miri serta Rev Father Alfred dan Bishop Warden Edwin Dundang.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Berani Kerana Benar, Kata Hannah Yeoh Selepas Beri Keterangan" bertarikh 20 Mac 2023)