Khamis, 23 Mac 2023

Kisah Di Sebalik Lagu "Just As I Am" oleh Charlotte Elliot


Kisah Di Sebalik Lagu "Dengan Seadanya Aku" oleh Charlotte Elliot

Sebagai seorang wanita muda, Charlotte Elliot tidak yakin akan hubungannya dengan Kristus, tidak yakin bagaimana caranya untuk diselamatkan, meskipun dia dibesarkan sebagai anak seorang pastor, dan pertanyaan menyelidik dari seorang penginjil dari Switzerland, "Apakah Anda dalam keadaan damai dengan Tuhan?", tidak dapat dilupakannya. Ketika dia bertemu dengan penginjil tersebut beberapa minggu kemudian, dia mengatakan bahawa dia tidak dapat mengelak dari pertanyaannya tersebut. Namun, dia memprotes, apa yang mungkin dapat dia bawakan kepada Tuhan? Ketika penginjil itu menjawab bahawa dia tidak perlu membawa apa pun kecuali dirinya sendiri, dia dengan senang hati menerima Kristus.

Lebih kurang dua belas tahun kemudian, pada tahun 1835, dalam keadaan lumpuh kerana sakit dan keletihan yang terus menerus, dia merasa sedih dengan ketidakmampuannya untuk membantu pelayanan gereja lokal. Teringat akan pertaubatannya, dia mengambil pen dan kertas dan menulis sebuah puisi untuk memberi semangat kepada orang lain yang merasa bahawa mereka juga tidak memiliki apa-apa untuk diberikan…

"Dengan seadanya aku, tanpa satu permohonan,

Tetapi kerana darah-Mu ditumpahkan untukku,

Dan Engkau mengundang aku datang kepada-Mu,

Oh, Anak Domba Allah, aku datang..."

Puisinya diterbitkan dan dia dibanjiri dengan permintaan untuknya. Dia sangat senang ketika mengetahui bahawa beberapa salinannya dijual untuk mengumpulkan wang untuk hal-hal yang dia rasa dirinya tidak berdaya bantu!

Setelah kematiannya, ribuan surat ditemukan di rumahnya, yang ditulis oleh orang-orang yang hidupnya telah diubah oleh kata-katanya.

Lagunya telah diterjemahkan ke dalam ratusan bahasa, diterbitkan di lebih dari 1600 buku nyanyian rohani, dan telah menjangkau berbilion orang di seluruh dunia, serta terus membawa orang kepada Kristus bahkan hingga ke saat ini.

Enam puluh tahun kemudian, pada tahun 1931, seorang pemuda berusia 31 tahun yang sedang duduk menumpang di ruang duduk sampingan motosikal saudaranya di England akhirnya menemukan titik terang dari pergumulan batinnya tentang apakah Kristus memang benar-benar Anak Allah. Dia akhirnya mengetahui di dalam jiwanya bahawa Yesus memang benar seperti yang Dia katakan! Dia menyedari bahawa Allah memanggil kita kepada-Nya "seadanya kita".

Ketika C.S. Lewis melangkah keluar dari ruang duduk sampingan itu, dia adalah manusia baru, diselamatkan oleh kasih karunia!

Sembilan puluh sembilan tahun setelah Charlotte Elliott menuliskan kata-katanya, dan 3 tahun setelah pertaubatan Lewis, anak lelaki berusia 16 tahun dari seorang penternak tenusu ini mendengar dengan tekun ketika mendengar pemberitaan keselamatan yang dikhutbahkan dalam sebuah kebaktian kebangunan rohani di Charlotte, NC. Ketika lagu "Just As I Am" dinyanyikan di bahagian akhir, pemuda Billy Graham maju ke depan untuk menerima Kristus.

Dua puluh tahun kemudian, Billy Graham telah menjadi penginjil yang berjaya dan diundang untuk berbicara di Universiti Cambridge di England. Kegugupannya atas acara tersebut hampir membuatnya membatalkannya. Namun, dia diperkenalkan kepada seorang lelaki yang baik hati bernama C.S. Lewis yang mendorongnya untuk tidak menghiraukan para pengkritik yang menentangnya, dan terus melanjutkan kebangunan rohani.

Rev. Graham kemudian berbicara kepada lebih dari 2,000 orang yang hadir pada setiap malam kebangunan rohani tersebut, dan ketika dia kembali ke England pada tahun 1989, dia berbicara kepada 80,000 orang di Stadium Wembley, England! Seperti biasa, dia menutup acara tersebut dengan lagu yang sama yang membawanya kepada Kristus, "Just As I Am."

Jangan pernah menganggap bahawa Anda tidak ada "apa-apa" untuk dibawa kepada Yesus! Itulah yang Dia inginkan untuk anda bawa... tiada apa-apa! Dia menginginkan anda, hanya anda, apa adanya! Dia dapat mengambil kekecewaan seperti Charlotte Elliot, keraguan seperti Lewis, dan kegugupan seperti Billy Graham, dan menjangkau dunia melalui anda!

"Dengan seadanya aku, meskipun terumbang-ambing

dengan banyak konflik, banyak keraguan,

pertikaian dan ketakutan di dalam dan di luar,

O Anak Domba Allah, Aku datang, Aku datang."

(Diterjemahkan oleh Sabrina Abigail dari hantaran Facebook Jesus Saves TV bertarikh 4 Januari 2023)