Rabu, 18 Julai 2012

Allyson Felix Memburu Emas Di Olimpik London 2012


Allyson Felix
Pelumba Amerika Syarikat, Allyson Felix berazam meraih pingat emas dalam acara kegemarannya 200 meter wanita di Sukan Olimpik London 2012 yang akan datang. Allyson telah memenangi pingat perak dalam acara itu pertama kalinya di Olimpik Athens 2004 pada usia 19 tahun. Di Olimpik Beijing 2008, Allyson juga mendapat perak, walaupun merupakan pelumba pilihan pada tahun itu, setelah dikalahkan oleh "musuh ketatnya" Veronica Campbell dari Jamaica. 

Begitupun pencapaian Allyson dalam 200 meter wanita adalah cemerlang sekali. Dialah satu-satunya wanita yang pernah memenangi tiga Kejuaraan Dunia dalam acara tersebut (memenanginya secara berturut-turut pada 2005, 2007 dan 2009). Walaupun Allyson telah mendapat emas dalam acara 4x400 meter bersama rakan-rakannya di Olimpik Beijing 2008, buruannya di London kali ini sepastinya adalah emas dalam acara 200 meter kegemarannya.

Berikut ini kesaksian Allyson Felix mengisahkan tentang peranan iman dalam kehidupan dan kariernya;

"Tentu sekali imanku ialah bahagian terpenting dalam hidupku. Bapaku seorang profesor Sekolah Alkitab dan aku membesar dalam keluarga Kristian yang sangat teguh. Keluargaku sangat terlibat dalam gereja kami. Aku sangat diberkati memiliki keluargaku dan pengajaran yang kuterima sejak kecil. Aku sangat menghargai mempunyai ibubapa yang takut akan Tuhan dan yang memiliki banyak hikmat. Mereka adalah teladan hidup yang sangat mengkagumkan untukku dari waktu kecilku.

Allyson akan berlumba di London
Aku mula mengenal Yesus Kristus sebagai Juruselamatku secara peribadi pada usia yang sangat muda. Sejak waktu itu, aku berterusan berusaha bertumbuh dalam perhubunganku dengan Tuhan. Aku bukanlah anak yang sempurna. Aku juga telah mengalami banyak kesukaran dan membuat pilihan yang mengecewakan, tapi syukur kerana Tuhan tidak pernah berhenti mengasihiku.  

Aku masih dibentuk dan seperti orang lain aku menghadapi pergumulan setiap hari. Matlamatku ialah untuk menjadi lebih serupa Kristus pada setiap hari dan itu bukanlah hal yang mudah. Aku sedar bahawa aku sedang berusaha untuk berbeza dari pelumba-pelumba Olimpik yang lain, dan aku berharap selepas aku berlumba, orang akan dapat melihat sifat yang menyerupai Kristus dari cara aku menampilkan diri.

Aku cuba tidak menumpukan kepada tekanan yang mengelilingiku. Aku suka Filipi 4:6-7 yang mengatakan, "Janganlah hendaknya engkau khuatir tentang apapun juga, tetapi nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah dalam doa dan permohonan dengan ucapan syukur. Damai sejahtera Allah, yang melampaui segala akal, akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus." Ayat itu selalu mendorong hatiku apabila aku berhadapan dengan apapun jenis tekanan, dan melalui pergumulan dalam hidup, imanku selalu menenangkan hatiku. Aku berusaha hidup dalam Firman dan aku banyak berdoa, berbicara dengan Tuhan. Dia memberikan aku kekuatan dan hikmat. 

Allyson Felix (paling kiri) mendapat pingat perak untuk acara 200 meter
di Olimpik Beijing 2008. Impian Allyson ialah untuk mendapat
pingat emas dalam acara itu di Olimpik London 2012

Dalam musim hidupku sekarang, aku rasa sangat diberkati kerana Tuhan telah memberikan aku kebolehan untuk berlumba. Kebolehanku berlumba adalah pemberian yang ajaib daripada Tuhan dan aku mahu menggunakan kebolehan ini dengan sebaik-baiknya untuk memuliakan Tuhan. Kita perlu ada kecintaan dan kita perlu ada tujuan untuk melakukan apa yang kita lakukan. Dan memang perlu ada tujuan, itulah yang membawa kejayaan. Aku tahu kebolehanku datang dari Tuhan. Dan itulah tujuanku: berlumba untuk memuliakan-Nya.

Aku bersyukur aku telah diberi pentas ini untuk membolehkan aku mengkhabarkan imanku kepada dunia!"

*************************

Laporan Terbaru  9 Ogos 2012 - Allyson Felix Menang 200m Wanita Di Olimpik London