Isnin, 13 Mei 2013

Dimurnikan Seperti Perak



Alkisahnya sekumpulan wanita sering bertemu untuk pengajian Alkitab. Semasa mempelajari fasal ketiga dalam buku Maleakhi, mereka menemukan ayat ketiga yang berbunyi, "Ia akan duduk seperti orang yang memurnikan dan mentahirkan perak."

Ayat itu membingungkan wanita-wanita itu dan mereka tertanya-tanya bagaimana kenyataan itu menunjukkan sifat dan keperibadian Allah. Seorang daripada wanita itu menawarkan diri untuk mencari maklumat tentang proses memurnikan perak dan melaporkan kepada yang lain pada sesi pengajian Alkitab yang akan datang.

Pada minggu berikutnya, wanita itu menelefon seorang tukang perak dan membuat temujanji untuk berkunjung ke tempat tukang perak dan melihat cara dia bekerja. Dia tidak memberikan sebarang sebab atas minatnya, selain dari rasa ingin tahunya tentang proses memurnikan perak. 

Sambil wanita itu memerhatikan tukang perak itu bekerja, tukang perak itu memegang sekeping perak di atas api dan membiarkannya menjadi panas. Tukang perak itu menjelaskan bahawa dalam proses pemurnian perak, dia perlu menghulurkan perak itu di tengah-tengah api, di mana nyala apinya paling panas untuk membakar keluar semua kekotorannya.




Wanita itu sedang berfikir bagaimana Tuhan memegang kita di tempat yang panas seperti itu, lalu dia mengingat kembali ayat itu, bahawa "Ia akan duduk seperti orang yang memurnikan dan mentahirkan perak." Dia bertanya kepada tukang perak itu adakah benar dia akan duduk di situ di depan api sepanjang waktu perak itu dimurnikan.

Orang itu menjawab ya, bukan saja dia perlu duduk di situ memegang perak itu, tetapi matanya memandang terus perak itu sepanjang waktu perak itu di dalam api. Jika perak itu diletakkan sedetik terlalu lama di dalam nyala api, ianya akan dirosakkan.

Wanita itu terdiam seketika. Kemudian dia bertanya tukang perak itu, "Bagaimanakah kamu tahu bila perak itu sudah dimurnikan sepenuhnya?" Tukang perak itu tersenyum lalu berkata. "Itu mudah saja, tatkala kumelihat wajahku padanya."