Rabu, 5 November 2014

Bible Dirampas Jais Milik Kristian, Kata Azmin



Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang dirampas pihak berkuasa agama negeri pada Januari bukan milik umat Islam dan harus dikembalikan kepada orang Kristian, kata Mohamed Azmin Ali malam tadi.

Bercakap di depan kira-kira 1,000 penyokong DAP pada satu majlis makan malam parti itu, menteri besar Selangor itu berkata, beliau memaklumkan istana perkara itu dengan harapan isu yang berpanjangan itu akan selesai akhirnya.

"Saya bawa perkara ini kepada perhatian Sultan, tentang bagaimana Alkitab itu bukan milik umat Islam, ia dimiliki penganut Kristian, mereka mesti dihormati," kata Azmin dalam ucapannya di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya.

"Islam tidak pernah minta umatnya mengganggu keharmonian agama lain. Menjadi tanggungjawab kita menghormati amalan agama lain di negara ini. Kita masyarakat berbilang agama. Ini bukan Arab Saudi atau Sudan, ini Malaysia, ini Selangor.

"Inilah sebabnya kami sedang mengusahakan satu formula dan saya yakin jika mereka memahami Islam yang sebenar, Bible itu mesti dikembalikan kepada masyarakat Kristian," kata Azmin, disambut tepukan mereka yang hadir.

Katanya, sebagai menteri besar yang baharu, beliau menerima jawatannya dengan serius dan akan menjaga semua rakyat Selangor, tanpa mengira latar belakang mereka.

Timbalan presiden PKR itu berkata, umat Islam harus menghormati agama lain di Malaysia dan sedar hak orang bukan Islam mengamalkan agama mereka dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya tidak peduli apa (ketua Perkasa Datuk) Ibrahim Ali kata, sebagai menteri besar, saya perlu pertahankan rakyat Selangor, tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Menteri besar terdahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dikritik hebat DAP dan PKR sendiri, yang merupakan bekas partinya, kerana tidak mengambil pendirian lebih tegas mengenai isu Bible ini, yang berlarutan selama berbulan-bulan tanpa sebarang ketetapan.

Tetapi, Azmin yang dilantik menteri besar ke-15 pada 23 September memberitahu pemberita semalam beliau sudah bertemu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengenai perkara itu dan hasilnya akan diketahui tidak lama lagi.

Jais merampas 321 Alkitab semasa serbuan ke atas pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) pada Januari.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan Alkitab tersebut dikembalikan kepada PBM, selepas kerajaan negeri Selangor di bawah Khalid merujuk perkara itu kepadanya.

Walaupun Gani membuat kesimpulan PBM tidak melakukan sebarang kesalahan, Mais bertegas terdapat alasan mendakwa PBM mengikut Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Khalid kemudiannya merujuk perkara itu kepada Sultan Selangor yang mengarahkan Jais membawa hal itu kepada pendakwa raya negeri.

Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin Idris Shah, Datuk Mohamad Munir Bani kemudian berkata perintah Sultan selaras dengan minit yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara yang "Jais perlu bertindak berdasarkan undang-undang dalam isu Bible yang dirampas".

"Jais perlu segera merujuk perkara itu kepada pendakwa raya negeri supaya ia boleh dibawa ke mahkamah bagi keputusan muktamad," kata Sultan dalam kenyataan itu.

Sultan berkata isu itu tidak seharusnya dipolitikkan mana-mana pihak, mengakibatkan kekeliruan dengan mencadangkan penyelesaian yang tidak berdasarkan undang-undang.

Bagaimanapun, baginda tidak menyatakan mahkamah mana yang perlu dirujuk pihak berkuasa - sama ada sivil atau syariah. – 4 November, 2014.

(Diambil daripada artikel "Bible Dirampas Jais Milik Kristian, Kata Azmin Kepada Sultan Selangor" penulisan Anisah Shukry bertarikh 4 November 2014)