Rabu, 3 Disember 2014

Tiada Larangan Atas Salib, Tetapi Kebenaran Diperlukan, Kata Jabatan Pelajaran

Ibu bapa dikehendaki memaklumkan pihak sekolah dan mengisi beberapa 
borang bagi membenarkan anak mereka memakai simbol keagamaan,
termasuk lambang salib, ke sekolah. - Gambar fail Malaysian Insider 

Jabatan Pelajaran Sabah mempertahankan tuduhan yang sebuah sekolah menengah di Sabah melarang pelajar beragama Kristian memakai lambang salib ke sekolah, mengatakan larangan itu tidak wujud.

The Star hari ini melaporkan pengarahnya Datuk Jame Alip berkata, jabatan itu tidak pernah melarang sesiapa pun memakai simbol keagamaan di sekolah.

"Pelajar boleh memakai lambang salib atau simbol mana-mana agama lain, asalkan ia tidak terlalu besar atau dijadikan barang perhiasan," beliau dipetik sebagai berkata, sambil menambah yang sekolah itu tidak pernah menghalang sesiapa memakai simbol keagamaan.

Bagaimanapun, akhbar itu melaporkan, ibu bapa dikehendaki memaklumkan pihak sekolah dan mengisi beberapa borang bagi membenarkan anak mereka memakai simbol keagamaan, termasuk lambang salib, ke sekolah.

Menurut pengetua sekolah itu, ia bertujuan mengekang kejadian di mana pelajar semakin ramai yang memakai rantai dan barangan perhiasan lain di sekolah bagi tujuan selain kegunaan agama.

Akhbar Sabah, Daily Express melaporkan semalam, pelajar SM Ken Wah di Keningau dilarang memakai lambang salib ke sekolah kecuali setelah mereka memperolehi kebenaran dari lembaga disiplin sekolah.

Katanya, peraturan itu termasuk di bawah kategori kebersihan diri yang harus dipatuhi pelajar, di mana turut disenaraikan ialah pelajar tidak dibenarkan memakai barang kemas dan simbol keagamaan ke sekolah.

Seorang bapa memberitahu media, beliau mendapat tahu mengenai peraturan itu selepas menghadiri taklimat yang diadakan bagi ibubapa yang mendaftar pelajar baru ke sekolah itu pada 7 November.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Tiada larangan atas salib, tetapi kebenaran diperlukan, kataJabatan Pelajaran" bertarikh 2 Disember 2014)