Sabtu, 17 Januari 2015

Philip Mantofa Mengenai Nahas QZ8501: "Walaupun Saya Tidak Mengerti Semua Yang Berlaku, Iman Saya Tidak Tergoncang"

Temubual Charisma News dengan Pastor Philip Mantofa:

Apabila penerbangan AirAsia QZ8501 terhempas ke dalam lautan pada penghujung tahun lepas, beratus-ratus keluarga dan kawan-kawan menderita kehilangan yang tersayang - tapi tiada yang sebegitu besar kesannya seperti yang dialami Gereja Mawar Sharon, di Surabaya, Indonesia.

Jemaat itu mempunyai 45 anggota - lebih daripada suku jumlah penumpang - menaiki pesawat itu. Tetapi untuk Pastor Philip Mantofa, kehilangan itu telah membawa gereja itu kepada perhatian umum. Kini Pastor Philip berbicara mengenai bagaimana tragedi ini telah menguatkan imannya. 

Charisma News: Apakah kesan kehilangan ini kepada gereja anda?

Philip Mantofa: Gereja kami adalah seperti keluarga yang besar. Walaupun tidak semestinya setiap orang dapat mengenal setiap orang, rasa kekeluargaan kami adalah kuat oleh kerana hampir semua ahli-ahli kami terlibat dalam kelompok kecil dan pelayanan. Kehilangan yang tragis ini hanya menguatkan kebergantungan kami kepada Allah dan penghargaan kami satu dengan lain. Kasih - Kasih Allah - sedang terjadi!

Charisma News: Apakah yang gereja lakukan ketika menghadapi kehilangan ini?

Philip Mantofa: Yang pertamanya, pertolongan cemas. Kami di antara yang pertama sampai di lokasi - di balai berlepas lapangan terbang antarabangsa kami - untuk bertemu dengan keluarga-keluarga penumpang-penumpang yang terhilang dalam kapalterbang yang ditimpa malang itu. Kemudian, kami serta-merta memulakan pusat jagaan di mana kami mewujudkan suasana doa/penyembahan yang berterusan untuk menguatkan iman mereka yang menanti berita mengenai orang-orang tersayang. Makanan dan minuman juga disediakan untuk memberi penjagaan secara jasmani, supaya tidak ada yang jatuh sakit.

Kami menghantarkan pasukan-pasukan kaunselor terlatih Kristian mengikut syif, sentiasa siap sedia untuk membantu. Juga kami telah mengaturkan untuk setiap satu keluarga yang berkabung seorang pastor dari gereja kami, supaya kami dapat memberikan sokongan khusus yang mereka perlukan. Terutamanya apabila jasad-jasad ahli-ahli keluarga mereka ditemui, kami tidak ingin mereka bersendirian menghadapi keadaan yang amat menyedihkan ini. "Berada bersama mereka dan untuk mereka" itulah pelayanan kami yang terpenting untuk mereka setakat ini. Bukankah Alkitab mengatakan bahawa kita harus menangis dengan mereka yang menangis?





Charisma News: Bagaimanakah gereja akan meneruskan perjalanan seterusnya?

Philip Mantofa: Tidak ada kata yang dapat menggambarkan rasa kehilangan yang kami semua alami di sini, terutamanya keluarga-keluarga penumpang-penumpang. Komen-komen yang tidak perlu, tidak membantu sedikitpun, dan kami tidak cuba untuk menjawab soalan besar "MENGAPA." Walau bagaimanapun Roh Kudus menjadi sangat nyata di gereja kami sebagai Penghibur. Sebagai pastor mereka, saya sangat berbangga dengan anggota-anggota gereja saya yang memikul beban satu sama lain tanpa teragak-agak. Ketika yang paling menyayat hati ialah apabila saya menyaksikan bagaimana sebuah keluarga yang berkabung mendorong dan berdoa untuk sebuah keluarga lain atas inisiatif mereka sendiri. Saya boleh katakan saya hampir melihat syurga dalam keadaan itu. Ya, kami sedang melangkah ke hadapan.

Charisma News: Bagaimakah iman anda menolong anda dalam tragedi yang seperti ini?

Philip Mantofa: Imanlah satu-satunya yang saya miliki. Walaupun saya tidak dapat mengerti semua yang berlaku, iman saya dalam Allah tidak tergoncang. Allah tidak jahat, dan tentunya kemalangan ini bukanlah kesalahan-Nya. Tidakkah Dia dapat menghindarkan ini? Tentu sekali Dia dapat! Tetapi jika Dia tidak, Dia melampaui akal fikiran saya. Allah tidak menjanjikan kita hidup yang tanpa masalah di duni yang tidak sempurna ini; tetapi Dia berjanji untuk menyertai kita melalui segalanya. Di sini di Indonesia, kami tidak hanya hidup untuk Yesus; kami juga mati untuk-Nya! Saya akan mengikuti-Nya walau apa pun terjadi, dan yang lain akan mengikuti saya sambil saya mengikuti Kristus. Akhirnya oleh kerana kasih-Nya adalah tidak bersyarat kepada kita, iman kita juga haruslah tidak bersyarat kepada-Nya. Tuhan yang memberi, Tuhan yang mengambil, terpujilah nama Tuhan!

"Imanlah satu-satunya yang saya miliki. Walaupun saya tidak dapat mengerti semua yang berlaku, iman saya dalam Allah tidak tergoncang."

Charisma News: Apakah yang Roh Kudus mengajar anda pada kali ini? 

Philip Mantofa: Bahawa tidak seorangpun terkecuali daripada penderitaan. Nahas itu, mungkin saja saya yang di dalamnya, atau sesiapapun juga. Tidak seorangpun yang istimewa, biarpun orang Kristian ataupun pastor - hanya Yesus yang istimewa! Kita hanya orang yang dikasihi. Satu-satunya hal yang yang pasti dalam hidup ini ialah keselamatan kita. Diberkatilah mereka yang nama-namanya telah tertulis dalam Buku Kehidupan!

Charisma News: Adakah tujuan rohani di sebalik perjalanan mereka? Ada orang yang berspekulasi bahawa mereka sedang membuat lawatan misi. 

Philip Mantofa: Gereja Mawar Sharon yang saya gembalakan, mempunyai 45,000 ahli. Oleh kerana angka itu sahaja, adalah perkara biasa bertembung dengan ahli-ahli gereja di manapun kami pergi di Surabaya, di sekitarnya, dan di lain tempat. Kami telah kehilangan 45 ahli-ahli kami yang tersayang yang terdiri daripada beberapa keluarga yang secara kebetulan mengambil perjalanan yang sama dan menaiki pesawat yang sama ke Singapura pada pagi yang malang itu. Ramai yang pergi untuk bercuti dan mereka tidak semestinya mengenali keluarga-keluarga yang lain, walaupun dari gereja yang sama.

Charisma News: Apakah kesannya ini kepada iman anda secara peribadi?

Philip Mantofa: Iman saya dalam Yesus tidak berubah, kerana ianya dari mulanya tidak bergantung kepada keadaan. Kristuslah Tuhan saya dalam segala musim hidup saya, samada dalam suka atau duka. Kalau iman saya terhempas jatuh ke tahap paling bawah, di bawah saya ialah Gunung Batu. Lalu, iman saya akan menjadi lebih kuat lagi dari dulu!


Untuk kesaksian penglihatan syurgawi yang dilihat oleh Pastor Philip Mantofa selepas nahas AirAsia QZ8501, sila klik di sini.

(Diterjemah daripada artikel Charisma News bertajuk "Pastor of AirAsia Victims Encounters Heaven In Midst Of  Tragedy" penulisan Jessilyn Justice bertarikh 13 Januari 2015)