Selasa, 21 April 2015

Polis Akan Siasat Penduduk Bantah Salib Gereja Taman Medan, Kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak

Kabinet hari ini bersetuju, penduduk yang membantah salib di gereja di Taman Medan, Petaling Jaya akan disiasat polis mengikut Akta Hasutan atau peruntukan undang-undang sedia ada.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, akta itu bertujuan menjamin keamanan dan keharmonian kaum di negara ini dan melindungi semua agama dan kaum.

“Polis akan menjalankan siasatan terhadap kumpulan yang mengadakan bantahan di Taman Medan.

“Jika mereka didapati melanggar undang-undang negara, tindakan boleh diambil di bawah Akta Hasutan atau undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najib berkata, Kabinet hari ini membincangkan bantahan sekumpulan penduduk, yang dilaporkan kira-kira 50 orang, terhadap pemasangan lambang salib di luar rumah kedai yang digunakan sebagai gereja itu.

Katanya, mereka sepatutnya berbincang dengan pihak yang berkenaan jika mempunyai sebarang bantahan dan tidak mengambil tindakan yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

“Rakyat mestilah sentiasa mematuhi undang-undang negara dan menghormati amalan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Selain itu, kita hendaklah mengamalkan sikap toleransi serta saling hormat menghormati antara kaum yang berbeza agama.”

Beliau berkata dalam insiden itu, kerajaan negeri Selangor berkuasa ke atas status rumah kedai itu sama ada sudah berdaftar sebagai rumah ibadat dan diberi kebenaran untuk beroperasi atau tidak.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini memaklumkan, gereja yang dibuka di kawasan perumahan majoriti Melayu-Islam itu didapati tidak mempunyai permit, lapor The Star Online.

Portal berita itu berkata, unit rumah kedai itu tidak mempunyai lesen beroperasi sebagai tempat ibadat, serta tiada permit meletakkan salib pada bangunan itu.

"Lot kedai yang ditukar kepada tempat ibadat atau pusat meditasi mesti mematuhi Akta 133 Seksyen 70 (12) dan permohonan bertulis dengan aktiviti dinyatakan hendaklah dikemukakan untuk kelulusan," pegawai perhubungan awam MBPJ Zainun Zakaria dipetik sebagai berkata.

"Kita memerlukan pematuhan ini bagi memastikan keselamatan penduduk menggunakan bangunan itu."

Bagaimanapun, katanya, belum ada permohonan bertulis dikemukakan gereja baharu itu setakat ini, sambil menambah yang wakil pihak rumah ibadat itu masih boleh berbuat demikian.

Pada hari kejadian, pihak gereja menurunkan salib gergasi yang menjadi pertikaian itu beberapa jam selepas penunjuk perasaan itu berkumpul di luar gereja baharu itu.

Salah seorang daripada pemimpin Umno yang hadir dalam protes tersebut ialah Datuk Abdullah Abu Bakar, abang kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Penunjuk perasaan dilaporkan berkata, kewujudan salib di kawasan majoriti Islam itu memberikan cabaran hebat kepada agama dan boleh mempengaruhi akidah anak muda.

Semalam, Khalid berkata tiada unsur hasutan dalam tunjuk perasaan itu kerana demonstrasi itu bukan menentang agama Kristian, tetapi disebabkan lokasi gereja itu terletak di kawasan kejiranan yang sebahagian besarnya Melayu-Islam.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya mengesahkan protes itu berunsur hasutan dan tindakan akan diambil terhadap penduduk terlibat. – 21 April, 2015.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Polis Akan Siasat Penduduk Bantah Salib Gereja Taman Medan, Kata Najib"