Khamis, 22 Oktober 2015

Kong Hee: "Kerana Kasih Karunia Tuhan, Tiada Ketakutan Akan Masa Depan"

Pengasas City Harvest Church, Kong Hee dan isterinya Ho Yeow Sun meninggalkan
mahkamah selepas perbicaraan pada 9 September 2013 (Foto AFP/Roslan Rahman)

Pengasas City Harvest Church (CHC), Kong Hee berkata walaupun ini adalah "waktu yang sukar" untuknya dan keluarganya, dia tidak ada "ketakutan" akan masa depan. 

Dalam kenyataan awamnya yang pertama sejak disabit kesalahan semalam (21 Okt) atas tuduhan pecah amanah, Kong meminta gereja itu dalam suatu catitan Facebook untuk "terus berdoa untuk saya dan mereka yang terlibat daam perbicaraan ini, untuk keluarga-keluarga kami, dan terutama untuk jemaat City Harvest Church, yang saya amat kasihi dengan segenap hati."

Dia menambah, "Saya dan keluarga saya terus merasa didorong dan dikuatkan oleh kasih dan sokongan yang telah ditunjukkan kepada kami pada sepanjang waktu ini. Kami berterima kasih kepada anda untuk doa-doa dan dorongan anda, kerana itu sangat bererti bagi kami."


Kenyataan awam pertama pengasas CHC di Facebook, Kong Hee sejak disabitkan
kesalahan untuk pecah amanah oleh mahkamah semalam (21 Okt 2015)

Perbicaraan CHC yang yang berpanjangan itu sampai kepada penghujungnya selepas 140 hari, apabila Kong dan lima pemimpin gereja didapati bersalah atas semua pertuduhan pecah amanah dan pemalsuan akaun yang dikenakan ke atas mereka. 

Kong, pembantu pastor Tan Ye Peng, pengurus kewangan Sharon Tan, bekas pengurus kewangan Serina Wee, dan bekas ahli majlis gereja John Lam dan Chew Eng Han telah dituduh menyalahgunakan S$24 juta wang gereja untuk mendanai karier muzik Ho Yeow Sun, isteri Kong, di Amerika Syarikat. Sejumlah S$26.6 juta yang lain juga didakwa telah digunakan untuk menutupi perkara itu melalui dua syarikat, Xron dan Firna, yang keduanya dimiliki oleh penyokong-penyokong CHC. 

"Kesan dari bukti menunjukkan mereka tahu bahawa mereka bertindak secara tidak jujur," kata Hakim See Kee Onn dalam keputusan lisannya. "Mereka memilih untuk mengambil bahagian dalam konspirasi menyalahgunakan dana CHC."

Sementara itu, National Council of Churches of Singapore (NCCS) semalam berkata ianya "bersedih" oleh keputusan bersalah atas enam pemimpin itu. Dalam kenyataan bersama oleh Presiden NCCS, Biskop Dr. Wee Boon Hup dan Setiausaha Umum NCCS, Rev Dr Ngoei Foong Nghian, Majlis itu berkata, "Adalah harapan dan doa kami agar sesuatu yang baik akan muncul dari seluruh episod ini, terutamanya sebagai peringatan untuk memberi perhatian lebih besar kepada pentadbiran gereja dalam hal pengurusan kewangan.

"Kami meminta masyarakat Kristian agar berdoa untuk CHC sambil ahli-ahlinya memikirkan masa depan gereja mereka. Kami menggalakkan kepimpinan CHC agar meneruskan dorongan kerohanian untuk ahli-ahli mereka pada tempoh waktu yang sukar ini."

NCCS menambah bahawa ianya akan "memberi panduan dan menasihati anggota-anggota masyarakat Kristian untuk selalu mentaati undang-undang negara." 

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Yahoo News bertajuk, "Kong Hee: With God's Grace, I Have No Fear" penulisan Nicholas Yong bertarikh 22 Oktober 2015)