Oswald Chambers |
Tidak banyak buku yang diterbitkan pada abad yang lepas yang telah membawa impak kepada lebih ramai orang Kristian daripada buku Oswald Chambers. My Utmost For His Highest. Dikompilasikan daripada khutbah-khutbah, pengajaran dan mesej-mesej yang telah disampaikannya dalam sepanjang hidupnya - yang sebahagian besarnya telah didedikasikan kepada pelayanan - buku itu telah diterbitkan selepas kematiannya, tetapi telah meneruskan legasinya untuk bergenerasi..
Sebahagian daripada daya tarikan pengajaran Chambers dan buku saat teduhnya yang terkenal itu adalah kebolehannya untuk mengungkapkan kebenaran alkitabiah yang mendalam dengan cara yang mudah difahami, tetapi memaksa anda untuk merenungkannya untuk benar-benar mengerti.
Pada ulangtahun kematiannya, disajikan di sini 12 daripada kutipan kata daripada Chambers yang paling mendalam:
Mengenai Iman
"Iman tidak pernah tahu ke manakah ianya dipimpin, tetapi ianya mencintai dan mengenali Dia yang memimpin."
Mengenai Doa
"Kita cenderung untuk berdoa sebagai jalan terakhir, tetapi Tuhan inginkan kita menjadikan doa sebagai benteng pertahanan kita yang pertama. Kita berdoa apabila tidak ada apa lagi yang dapat kita lakukan, tetapi Tuhan ingin kita berdoa sebelum pun melakukan apa-apa."
"Doa bukan mendapatkan sesuatu daripada Tuhan, itu adalah tahap paling awal; doa adalah untuk memasuki persekutuan paling sempurna dengan Tuhan; aku memberitahu-Nya apa yang aku tahu Dia ketahui, agar aku boleh mengetahuinya seperti mana yang Dia ketahui."
Mengenai Keraguan
"Keraguan tidak selalunya petanda seseorang itu bersalah, ianya mungkin petanda dia sedang berfikir. "
Mengenai Orang Biasa
"Semua umat Tuhan adalah orang biasa yang dijadikan luar biasa oleh tujuan yang diberikan-Nya kepada mereka."
Mengenai Dosa
"Jika Roh Allah mengesan sesuatu yang salah di dalam kamu, Dia tidak meminta kamu membetulkannya; Dia meminta kamu menerima terangnya, dan Dia akan membetulkannya."
Mengenai Takut Akan Tuhan
"Perkara menarik mengenai Tuhan ialah apabila kamu takut akan Tuhan, kamu tidak akan takut apa-apa pun yang lain, sementara jika kamu tidak takut akan Tuhan, kamu akan takut segala-galanya yang lain."
Mengenai Penderitaan
"Tidak ada orang Kristian yang sihat yang memilih penderitaan; dia memilih kehendak Allah, seperti yang dilakukan Yesus, samada ianya bermakna penderitaan ataupun tidak."
Mengenai Kekudusan
"Tuhan ada satu tujuan akhir untuk kemanusiaan - kekudusan! Tujuan-Nya yang satu ialah menjadikan orang-orang kudus. Tuhan bukanlah mesin berkat bagi manusia. Dia tidak datang untuk menyelamatkan manusia kerana simpati. Dia telah datang menyelamatkan manusia kerana Dia telah menciptakan mereka untuk menjadi kudus."
Mengenai Kesenyapan Tuhan
"Kesenyapan Tuhan adalah jawaban-Nya. Jika kita hanya menerima sebagai jawaban perkara-perkara yang dapat dilihat oleh deria kita, kita masih pada tahap awal kedudukan kasih karunia."
Mengenai Legalisme
"Berwaspadalah terhadap sebarang kerja untuk Tuhan yang menyebabkan atau mengizinkan kamu mengelak daripada menumpukan kepada Tuhan. Sebilangan besar pekerja Kristian menyembah pekerjaan mereka. Satu-satunya perhatian pekerja-pekerja Kristian seharusnya tumpuan mereka kepada Tuhan. Ini bererti bahawa semua batasan dalam kehidupan, samada batasan mental, moral atau rohani, adalah sepenuhnya bebas dengan kebebasan yang Tuhan berikan kepada anak-Nya; iaitu anak yang menyembah, bukan anak yang menyeleweng. Seorang pekerja yang kekurangan dalam penekanan utama untuk menumpukan pada Tuhan sering menjadi terlalu terbeban oleh pekerjaan-Nya. Dia menjadi hamba kepada keterbatasannya, tidak memiliki kebebasan dalam tubuh, fikiran dan rohnya. Akibatnya, dia menjadi keletihan (burned out) dan terkalah. Tidak ada kebebasan dan tidak ada kesukaan langsung dalam hidup. Ketenangan, fikran dan hatinya begitu dikuasai sehingga berkat Tuhan tidak dapat dinikmati olehnya."
Mengenai Pendirian
"Berwaspadalah akan terlalu tertumpu pada ketepatan dalam pendirian kamu sendiri daripada dalam mencintai Tuhan. Hal terutama dalam orang kudus bukanlah terletak pada prinsipnya tetapi pada hidupnya dalam Tuhan. Adalah lebih mudah menjadi seorang yang terlampau fanatik daripada menjadi seorang yang setia secara konsisten, sebab Tuhan melakukan perendahan yang menakjubkan atas kesombongan keagamaan kita apabila kita setia kepada-Nya."
(Diterjemah oleh SDP daripada arikel Relevant magazine bertajuk, "The 12 Most Challenging Oswald Chambers Quotes" bertarikh 15 November 2015)