Jumaat, 6 November 2015

Apakah Bahasa Asal Alkitab?


Dalam bahasa apakah Alkitab telah ditulis asalnya? Pastor-pastor dan pelajar-pelajar Sekolah Alkitab mungkin dapat menjawab soalan itu dengan mudah, tetapi bagi kebanyakan kita, mungkin hanya ada bayangan yang kabur bahawa Alkitab telah ditulis dalam salah satu bahasa yang sudah tidak dipakai lagi. Bahasa Yunani kuno? Latin, mungkin?

Alkitab sebenarnya telah ditulis dalam tiga bahasa kuno: Ibrani, Aram dan Yunani. Sementara ada (satu versi modern dari) setiap bahasa itu masih dituturkan hari ini, kebanyakan daripada pembaca-pembaca modern bahasa-bahasa tersebut akan mengalami kesukaran dengan versi kuno yang digunakan dalam teks-teks Alkitabiah. 

Ibrani, Bahasa Untuk (Sebahagian Besar) Perjanjian Lama

Bahasa Ibrani (Hebrew)

Bahasa Ibrani kuno adalah bahasa pertuturan orang-orang Israel zaman kuno dan bahasa di mana sebahagian besar Perjanjian Lama telah ditulis. Yesaya 19:18 memanggilnya "bahasa Kanaan," sementara ayat-ayat lain mengelarnya bahasa "Yehuda" dan "bahasa orang-orang Yahudi" (2 Raja 18:26; Yesaya 36:11; 2 Tawarikh 32:18; Nehemia 13:24).

Bahasa Ibrani kuno adalah bahasa Semitik yang telah wujud lebih awal dari 1500 Sebelum Masihi. Abjadnya terdiri daripada 22 huruf, semuanya konsonan (jangan risau; huruf-huruf vokal akhirnya telah ditambah kepadanya), dan ditulis dari kanan ke kiri.

Sementara bahasa Ibrani kekal sebagai bahasa suci orang-orang Yahudi, penggunaannya sebagai bahasa pertuturan umum telah berkurang sejak kepulangan orang-orang Yahudi dari pembuangan (538 Sebelum Masihi). Walaupun terdapat kebangkitan bahasa itu semasa zaman Maccabe, ianya akhirnya hampir semuanya digantikan dalam penggunaan harian dengan bahasa Aram. Bahasa Ibrani modern boleh dikesan asal-usulnya ke bahasa Ibrani Alkitabiah, tetapi juga telah dimasukkan banyak pengaruh yang lain juga.

Apa Itu Bahasa Aram? 

Bahasa Aram (Aramaic)

Bahasa Aram kuno berasal daripada orang-orang Aram di utara Syria dan telah dipakai secara meluas di bawah pemerintahan orang-orang Assyria. Beberapa perenggan dari Perjanjian Lama telah ditulis dalam bahasa Aram (Kejadian 31:47; Ezra 4:8- 6:18, 7:12-26; Yeremia 10:11).


Ada orang yang telah membandingkan kaitan antara bahasa Ibrani dan Aram dengan kaitan antara bahasa Sepanyol dan Portugis modern: mereka adalah bahasa yang berasingan, tetapi cukup dekat kaitannya sehingga seorang pembaca satu bahasa dapat memahami bahasa yang satu lagi. Bahasa Aram sangat popular pada zaman kuno dan lazim dipertuturkan pada waktu Yesus datang.

Perjanjian Baru Bukan Ditulis Dalam Bahasa Ibrani?

Bahasa Yunani (Greek)

Ramai orang yang menganggap bahawa Perjanjian Baru juga telah ditulis dalam bahasa Ibrani, tetapi pada waktu Injil ditulis, ramai orang Yahudi tidak lagi bertutur dalam bahasa Ibrani. Kerajaan Rum telah menakluk negara Yunani (Greece), dan pengaruh budaya Yunani telah menguasai seluruh empayar itu. Apa yang menarik mengenai bahasa Yunani Alkitabiah ialah ianya tidak menggunakan gaya bahasa kelas tinggi atau kompleks; ianya ditulis dalam bahasa koine (Yunani biasa), bahasa yang dapat difahami oleh hampir setiap orang, samada yang punya pendidikan atau tidak.

Ianya mengkagumkan bagaimana Firman Tuhan telah mengembara melalui bahasa-bahasa dan budaya-budaya. Ianya bermula dalam bahasa umat pilihan-Nya, kemudian menggunakan bahasa dunia zaman Romawi, dan sekarang wujud dalam lebih 2,000 bahasa yang berbeza. Jauh daripada hanya menjadi teks satu bahasa yang statik, Alkitab sebenarnya mengalu-alukan penterjemahan dan akses lintas bahasa oleh sifat tersendiri yang ada padanya. Samada anda membaca Alkitab dalam bahasa-bahasa asal, atau salah satu daripada ribuan bahasa modern, ianya adalah berkat untuk dapat membaca Firman Tuhan hari ini seperti mana ianya telah dibaca ribuan tahun yang lalu.

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Bible Gateway bertajuk "What Was The Original Language Of The Bible?" penulisan Katie Hall bertarikh 1 Jun 2012)