Eulogi untuk Pastor Stemmah Sariau (dari Pedoman Harian):
Kami telah menerima berita yang amat sedih bahawa Pastor
Stemmah Sariau telah kembali kepada Tuhan pada pagi 18hb November 2015. Takziah
diucapkan kepada Pastor Richard Samporoh dan tiga orang anak mereka, Lenny
Lysandra, Kenny Kevin & Esther Rimah bagi kehilangan ini.
Pedoman Harian mula-mula diperkenalkan pada tahun 1997, dan
ini adalah usaha terjemahan oleh Pastor Stemmah dan Pastor Annie Tuah. Sejak
itu, dia telah giat melibatkan diri dalam pelayanan ini dengan memegang jawatan
sebagai Editor Urusan.
Pedoman Harian telah mula-mula diperkenalkan pada 1997 |
Di bawah bimbingannya, sekumpulan penterjemah dan editor
yang muda telah bangkit untuk melibatkan diri dalam pelayanan bahasa. Baru satu
minggu yang lalu, dia telah memimpin satu bengkel penyuntingan dan
penterjemahan di Seminari
Teologi Sabah.
Kami bersyukur kepada Tuhan bagi kehidupan dan pelayanan
Pastor Stemmah yang setia di gereja-gereja Malaysia; baik dalam penterjemahan
Alkitab Bahasa Dusun dan Bahasa Malaysia, dan banyak lagi peranannya dalam
Sidang Injil Borneo dan Our Daily Bread Ministries. Begitu banyak pusaka yang
bernilai dan berkekalan yang ditinggalkannya di kalangan umat Kristian.
Kami berasa sungguh keberatan hati atas pemergian Pastor
Stemmah, namun kita boleh terhibur dalam Tuhan yang Maha Tahu dan Dia yang
berdaulat atas segala kebaikan bagi anak-anak-Nya.
Saudari dan rakan seperjuangan kita yang dikasihi, semoga
anda rehat dalam hadirat Penyelamat dan Tuan kita, Yesus Kristus.
Berharga di mata TUHAN kematian semua orang yang
dikasihi-Nya (Mazmur 116:15, Alkitab TB)