Pengurus bakat kepada Justin Bieber berkata Bieber kemungkinan mati jika dia pergi jelajah pada tahun 2013 (Foto Reuters) |
Pada hari ini, Justin Bieber kelihatan menjalani hidup dengan rendah hati, memberi kemuliaan kepada Tuhan di mana dia berkesempatan, dan memimpin khalayak ramai dalam doa sambil dia berusaha mengubah haluan hidupnya.
Bieber yang ada pada hari ini jauh berbeza daripada apa yang dijangkakan oleh pengurusnya dua tahun yang lalu. Buat permulaannya, Bieber masih hidup lagi.
"Apabila saya mula melihat hidupnya menuju arah yang salah, saya sudah mulai menyiapkan diri," pengurus bakat Scooter Braun memberitahu The New York Times mengenai Bieber yang sekitar 2013. "Saya secara jujur berfikir pada waktu itu, jika dia pergi jelajah, dia mungkin akan mati."
Pada tahun-tahun kebelakangan, Bieber telah menjadi tajuk berita kerana dadah, penahanan oleh polis, kesalahan mencederakan, merosakkan harta benda dan perlumbaan kereta haram.
"Orang-orang luar tidak tahu sebenarnya apa yang berlaku," Braun memberitahu NYT. "Ianya jauh lebih teruk daripada yang disedari orang ramai. Dan bila dia sudah bersedia, dia akan beritahu apa yang telah dilaluinya ketika itu. Tetapi ianya amat sukar sekali untuk melihat seseorang yang anda ambil berat dan kasihi dengan ikhlas mengharungi semua itu. Saya sangat, sangat gembira semuanya sudah berlalu."
Ianya hanya selepas Bieber membuat "keputusan penuh sedar" untuk mengubah haluan hidupnya, kerjayanya mula bangkit semula, kata Braun.
Kini Bieber menjadi tajuk berita lagi, tetapi kali ini adalah untuk petikan-petikan Alkitab kegemaran, doa, baptisan dan teologinya.
(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Charisma News bertajuk, "Justin Bieber's Manager: His Path Of Destruction Was Leading To Death" penulisan Jessilyn Justice bertarikh 30 Disember 2015)