Sabtu, 2 Julai 2016

Sejarah Awal Misionari dan Sekolah Misi Di Sarawak


RUDYARD Kipling, dalam beberapa karya sasteranya telah menulis mengenai pengembaraan dan pencapaian orang-orang Eropah awal yang cekal menempuh lautan dan perbatasan yang sukar di timur untuk mencari kekayaan dan kemasyhuran, menggambarkannya sebagai pengembaraan yang romantik dan agung yang mengendarai ombak Empayar British yang kian berkembang dalam era pasca Victoria. 

Rev James Matthew Hoover,
misionari Methodist yang awal
Mereka datang dan membawa pulang habuan mereka dan tidak meninggalkan apa-apa kesan jejak kaki mereka kecuali ucapan perpisahan terakhir. Tetapi zaman itu juga menyaksikan ketibaan satu gelombang orang-orang yang berbeza ke pantai Borneo.

Mereka tidak datang untuk mencari kekayaan atau keuntungan kebendaan, sebaliknya mereka terdorong oleh satu panggilan rohani yang mendalam untuk pergi ke ladang misi yang lebih besar untuk menyampaikan mesej kedamaian dan keselamatan serta membantu membawa transformasi kepada kehidupan penduduk-penduduk pribumi.

Mereka adalah misionari-misionari awal dari denominasi-denominasi Roman Katolik, Anglikan dan Methodist.

Mereka meninggalkan kampung halaman di Eropah dan Amerika Syarikat ke wilayah yang tidak diketahui, sambil meletakkan kepercayaan penuh mereka kepada Tuhan untuk menuntun mereka.

Semangat misionari mereka digambarkan dengan sempurna oleh kata-kata John Keith Falconer, seorang penginjil dari Scotland pada zaman yang sama, yang menulis, "Saya cuma ada satu lilin kehidupan untuk dibakar, dan saya lebih rela membakarkannya habis di tanah yang dipenuhi kegelapan daripada di tanah yang sudah dibanjiri cahaya."

Dengan itu bermulalah misi awal Kristian di Sarawak yang pada waktu itu diperintah oleh Brooke pada zaman sebelum pemerintahan British, di mana toleransi dan hormat untuk iman dan budaya satu sama lain sudah mulai dibentuk untuk menjadi satu tradisi yang membanggakan dan ianya tidak mengambil masa yang panjang untuk misi Kristian menjadi sebahagian penting suatu jalinan sosial yang lebih besar yang tidak tercemar dengan apa yang menjadi politik hari ini yang membawa pepecahan. 

Misi Anglikan dan Katolik di Sarawak

Rev Francis Thomas McDougall,
misionari Anglikan yang pertama
Misionari-misionari Anglikan dari England adalah di antara misionari Kristian yang pertama untuk menjejak kaki di Sarawak pada 1848. Yang pertama daripada mereka adalah Rev Francis Thomas McDougall, seorang paderi dan doktor terlatih dan untuk memperingatinya sebuah jalan bersebelahan Sekolah St Thomas telah dinamakan Jalan McDougall. 

Sebidang tanah yang telah digelar oleh McDougall sebagai "Chapel Hill" telah diberikan kepada misi itu oleh Raja Brooke untuk membina gereja mereka. Pada tahun-tahun berikutannya, tanah tambahan di persekitarannya telah diperolehi untuk mendirikan sebuah sekolah beratap jerami yang kemudian berkembang menjadi St Thomas dan St Mary, dua sekolah terulung di Sarawak. 

Lebih kurang dua dekad kemudian misionari-misinari Mill Hill Roman Katolik tiba, dan mereka juga ingin menubuhkan tapak misi mereka di mana mereka boleh menjangkau orang-orang di bandar dan di luar bandar yang belum mempunyai pegangan agama. 

Kebimbangan bahawa akan timbul pertikaian dalam bidang kuasa kawasan, Brooke mengambil keputusan membuat persempadanan yang memisahkan kawasan misi Katolik dengan kawasan Anglikan, dan ini telah membawa kepada Roman Katolik diagihkan kawasan yang cukup besar di Kuching dan Serian untuk mengembangkan kawasan misi mereka sementara Gereja Anglikan diberi kawasan yang luas di kawasan perkampungan Iban di lembah Sungai Saribas. 

Gereja Katolik St John di Singai, Bau

Manakala Roman Katolik telah merintis gereja pertama mereka di Singai di Bau dan seterusnya menubuhkan satu kawasan pelayanan yang meliputi kawasan di antara Bau dan Lundu di mana umat Katolik yang setia berjumlah 60,000 hari ini, Anglikan pula menubuhkan Gereja St Augustine di Betong, dan mereka juga dengan cepat menyebarkan pengaruh mereka dan menginjili ratusan rumah-rumah panjang yang terletak di kawasan Sungai Saribas, Batang Lupar dan Skrang. 

Pengembangan Misi Methodist

Pada permulaan kurun yang seterusnya, misionari-misionari Methodist pun tiba dan mereka juga diberi sokongan dan dorongan yang serupa oleh Brooke seperti yang telah ditunjukkannya kepada misionari-misionari Anglikan dan Katolik yang telah tiba sebelum itu.

Walaupun misi Methodist di Malaya dan Singapura telah pun ditubuhkan jauh lebih awal pada 1885 dengan Rev William Oldham sebagai Biskop pertamanya, misionari-misionari perintisan Methodist yang pertama ke Sarawak adalah Rev JM Hoover dan Rev GV Summers, yang hanya tiba pada 1903.

Wong Nai Siong
Misi Methodist telah berkembang dengan cepat di Miri dan ke seluruh lembah Sungai Rejang. 

Kehadiran jumlah yang besar orang-orang Methodist dari Foochow, yang telah tiba di Sibu dari tanah besar China pada 1900 di bawah pimpinan Wong Nai Siong, telah memudahkan usaha pengembangan misionari-misionari itu dan usaha mentransformasikan Sibu yang pada hari ini telah menjadi kubu Methodist yang kuat.

Peranan penting juga telah dimainkan oleh tiga pemimpin Iban yang telah dibaptis sebelum Perang Dunia, iaitu Tun Jugah Barieng, Dato Sri Jinggut Atan dan Penghulu Sibat.  

Mereka bertiga telah mengambil perjalanan ke Singapura dan telah berhasil dalam rundingan dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaya, Malcolm MacDonald, untuk Gereja Methodist ditubuhkan di kalangan orang-orang Iban di bahagian ulu lembah Sungai Rejang. 

Pada hari ini majoriti besar orang-orang Iban di bahagian ulu Sungai Rejang adalah orang-orang Methodist. Tindakan Gereja Methodist untuk berkembang di kawasan pelayanannya di kawasan lembah Rejang yang luas, termasuk menyediakan kemudahan pendidikan dan sosial kepada penduduk tempatan, jelas telah menerima persetujuan Brooke.

Ianya bersesuaian dengan pembahagian kawasan secara geografi oleh Brooke di kalangan gereja-gereja Katolik, Anglikan dan Methodist yang sejak itu telah menjadi gereja-gereja arus perdana di Sarawak dan diperakui dalam perlembagaan.

Mengembangkan Pendidikan dan Pencerahan

Pendidikan menduduki tempat yang penting dalam kerja misi ketiga-tiga gereja arus perdana itu dalam 100 tahun yang lepas, dan banyak daripada sekolah-sekolah ulung yang terkenal, yang telah ditubuhkan lama sebelum Sarawak diserahkan kepada Pemerintahan British, telah memberi sumbangan besar kepada pendidikan dan transformasi beribu-ribu jiwa, terutama mereka dari kawasan pedalaman. 

Bagi misi mereka, pendidikan adalah bahagian penting dalam transformasi dan pencerahan rohani dan kesempatan itu haruslah disediakan untuk seramai orang yang mungkin. 

Di antara sekolah-sekolah itu adalah St Joseph, St Thomas, St Teresa dan St Mary di Kuching, St Augustine di Betong, St Anthony di Sarikei, Sekolah Methodist, St Elizabeth dan Sacred Heart di Sibu, dan St Columba dan St Joseph di Miri.


Sekolah St Joseph di Kuching

Sekolah-sekolah misi itu terkenal dengan tradisi, kecemerlangan akademik dan komitmen menyeluruh yang membanggakan untuk menghasilkan anak-anak didik yang cemerlang dalam karakter, disiplin dan kewarganegaraan. 

Sekolah-sekolah itu menerima pelajar-pelajar daripada latar belakang bangsa, budaya, ekonomi dan agama yang berbeza, melayani mereka secara saksama sepanjang pengajian mereka.

Bertentangan dengan apa yang mungkin difikirkan oleh ramai orang, sekolah-sekolah itu tidak pernah mengenakan atau cuba mengenakan pendidikan agama Kristian ke atas pelajar-pelajar bukan Kristian, sebab mereka sangat jelas mengenai misi mereka untuk mendidik anak-anak dan membina mereka untuk masa depan yang  cerah, manakala kerja penginjilan akan dilakukan oleh gereja masing-masing dan itu juga dilakukan tanpa paksaan. 

Ramai daripada anak-anak didik sekolah-sekolah misi telah mencapai kejayaan dalam hidup, dengan peratusan besar yang memegang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta serta politik.

Walaupun sistem pendidikan telah berubah sejak masa itu, dan pengurusan kebanyakan sekolah misi juga telah bertukar tangan, menandakan perubahan nyata dari tahun-tahun kegemilangan mereka, kebanyakan bekas pelajar-pelajar sekolah-sekolah misi lama itu masih merasa berbangga apabila mereka diperakui sebagai anak-anak didik dari sekolah-sekolah ulung itu. 

Sesungguhnya, sekolah-sekolah misi telah meninggalkan kesan jejak kaki yang tidak terpadamkan dalam lembaran sejarah dan telah menyumbang tidak sedikit ke arah menjadikan Sarawak satu kejayaan. 

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Borneo Post bertajuk, "Tribute To Christian Pioneers And Mission Schools" yang ditulis oleh Toman Mamora bertarikh 16 September 2011)