Ahli gimnastik Shawn Johnson telah berkongsi dengan jujur mengenai ketakutan akan kegagalan yang mencengkamnya yang hampir-hampir melemaskannya di kejohanan Olimpik Beijing 2008 dan bagaimana akhirnya dia mendapat kebebasan daripada rasa bersalah dalam satu filem baru siri White Chair yang telah diterbitkan di IAmSecond.com.
Sebagai Juara Dunia 2007 untuk acara individu keseluruhan dan setelah memenangi acara keseluruahan Ujian Kelayakan Olimpik 2008, hampir setiap rangkaian media telah meramalkan Johnson yang berusia 16 tahun itu akan membawa pulang emas dari kejohanan di Beijing.
Shawn Johnson beraksi dalam acara gimnastik wanita di Kejohanan Olimpik Beijing pada 2008. |
Bertekad untuk membuktikan kepada dunia bahawa dia layak mendapat pingat emas, Johnson berkata dia memberikan persembahan terbaiknya dalam seluruh hidupnya. Namun walaupun mendapat tepukan gemuruh sambil berdiri daripada penonton seramai 50,000, Johnson mendapat tempat kedua.
"Saya memberitahu semua orang bahawa itu adalah penghormatan tertinggi dalam hidup saya, tetapi sebenarnya ianya seperti telah menghancurkan hati saya," kata Johnson. "Saya ingat diberi pingat perak di atas podium. Orang yang menyampaikannya memberi saya pelukan dan berkata kepada saya, 'Saya bersimpati.' Dan saya ingat itu sangat pelik bagi saya sebab... saya diberi pingat perak di kejohanan Olimpik dan diberitahu simpati, jadi ianya pengesahan di hati saya bahawa saya sudah gagal."
Johnson mendapat perak, Liukin memenangi emas dan Yang Yilin dari China menang gangsa |
Johnson seterusnya mendapat dua lagi pingat perak sebelum akhirnya mendapat emas.
"Sewaktu saya mendapat emas, ianya tak penting sudah. Saya rasa seperti sudah pun hancur," kata Johnson sambil menahan perasaannya, dalam filem I Am Second. "Saya telah memberikan 200% pada hari itu dalam pertandingan, dan mengeluarkan segala usaha saya, tetapi saya rasa seperti saya telah mengecewakan dunia. Saya merasa oleh kerana itulah cara dunia memandang saya, jika saya gagal sebagai ahli gimnastik, saya sudah gagal sebagai seorang manusia."
Johnson bukan sahaja pulang dengan kecewa tetapi juga mendapati bahawa dia berada dalam perhatian dan kritikan dunia berkenaan dengan beratnya, penampilannya, personaliti dan karakternya. Itu berterusan ketika dia mengambil bahagian sebagai peserta musim kelapan rancangan ABC, "Dancing With The Stars."
Shawn Johnson telah mengambil bahagian dalam "Dancing With The Stars" pada 2009 |
"Untuk berlagak seperti orang lain dan menunjukkan penampilan diri seperti orang lain, itu sangat memenatkan dan melesukan. Dan merasa seperti dunia tidak menerima anda seperti seadanya anda - itu melukakan hati," kata Johnson.
Semua tekanan itu akhirnya memuncak enam bulan sebelum Ujian Kelayakan Olimpik 2012. Setelah mendapat beberapa penaja, Johnson mendapati diri di takuk paling rendah - menjalani latihan 40 jam seminggu, usaha yang sia-sia untuk mengurangkan berat badan, keguguran rambut, tidak dapat tidur, makan tidak teratur, dan bergelut dengan hakikat bahawa dia bukan lagi berusia 16 tahun.
Johnson terus memberi tekanan pada dirinya dengan tanggapan bahawa itulah yang akan membuat penajanya, ibu bapanya, jurulatih dan pasukan kebangsaannya berbangga, namun pulang ke rumah hari demi hari dalam linangan air mata. Akhirnya satu detik yang kritikal terjadi di gim yang mengubah segala-galanya dan membantunya mendapat kebebasan dengan melepaskan tekanan untuk memenuhi jangkaan semua orang.
"Saya berdiri di atas pinggir palang, dan melihat ke bawah, dan bersedia untuk membuat lompatan, dan itu adalah satu detik yang sukar untuk dijelaskan, dan pada detik itu, saya merasa seperti Tuhan berbicara kepada saya, 'Kamu begitu sekali tertekan mengenai keputusan ini, dan kamu melalui semua ini, dan keluargamu melalui semua ini, kamu takut mengecewakan ramai orang, kamu tidak menjadi seperti dirimu, tetapi ianya OK untuk mengikuti apa di hatimu, untuk meletakkannya di belakangmu.'"
"Ya, saya boleh bekerja sepanjang hidup saya untuk menjadi CEO sebuah syarikat, atau memperolehi sejumlah wang tertentu, atau memenangi 12 pingat emas Olimpik lagi, tetapi itu bukanlah tujuan dalam kehidupan. Dan Dia akan selalu menjadi ganjaran saya yang terbesar dan anugerah yang paling saya banggakan."
"Nama saya Shawn Johnson. Saya di tempat kedua."
(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Charisma News bertajuk, "Olympic Medalist Shares Personal Heartbreak" yang ditulis oleh Kristin Cole/A. Larry Ross bertarikh 20 Julai 2016)