Khamis, 8 September 2016

Kamus Bahasa Iban-Inggeris Yang Komprehensif Diterbitkan

Dua gadis Sarawak menunjukkan Kamus Komprehensif Bahasa Iban-Inggeris (Foto: the Sun Daily)

KUCHING - Bahasa Iban yang mana salah satu bahasa pribumi masyarakat di Sarawak kini bukan lagi sekadar bahasa pertuturan masyarakat berkenaan semata-mata kerana ianya sudah berkembang seiringan dengan bahasa utama lain di Malaysia.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Haji Adenan bin Haji Satem berkata, ia termasuklah dengan mewujudkan kamus Iban-Inggeris agar ianya dapat mengangkat bahasa Iban ke tahap yang lebih tinggi lagi termasuklah bahasa bahasa peribumi yang lain.

Selain itu, usaha bagi memartabatkan bahasa terbabit dan bahasa bahasa pribumi yang lain perlulah sentiasa dipergiatkan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Haji Adenan bin Haji Satem merasmikan
Kamus Bahasa Iban-Inggeris yang diterbitkan Yayasan Kebudayaan Dayak (Foto: KLXpress)

"Sarawak yang mempunyai berbagai etnik dan kaum turut memiliki kepelbagaian dalam bahasa pertuturan seharian.

"Jika usaha mendokumentasikan bahasa-bahasa berkenaan tidak dilakukan, tidak mustahil ianya akan hilang atau pupus ditelan zaman," katanya.

Justeru itu, usaha yang dilakukan oleh Yayasan Kebudayaan Dayak dalam menerbitkan kamus bagi bahasa Iban-Inggeris wajar dijadikan contoh yang baik dalam memartabatkan dan mendokumentasikan bahasa tersebut untuk diwarisi oleh generasi muda akan datang.

"Kaum lain patut melakukan usaha yang sama. Jadi, kita mengalakkan usaha yang sama. Sebelum sesebuah bahasa itu hilang, dokumentasikannya. Siapa tahu, di masa hadapan sesetengah bahasa boleh atau akan hilang ditelan zaman," jelasnya lagi.

Adenan berkata demikian dalam ucapannya ketika berucap pada majlis Pelancaran Kamus Komprehensif Bahasa Iban-Inggeris di Kuching di sini pagi tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Yayasan Kebudayaan Dayak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Alfred Jabu ak Numpang yang merupakan pencetus bagi penerbitan kamus berkenaan.

Kamus berkenaan yang diterbitkan Yayasan Kebudayaan Dayak mengandungi lebih 30 ribu kosa kata bahasa Iban bagi dijadikan rujukan orang ramai yang ingin mempelajari bahasa tersebut.

(Diambil daripada artikel KLXpress bertajuk, "Bahasa Iban Dimartabatkan Dengan Adanya Kamus Bahasa Iban-Inggeris" bertarikh 8 September 2016)