Selasa, 14 Mac 2017

Filem Disney "Beauty and the Beast" - Surat Makluman Biskop Anglikan Singapura


SINGAPURA: Dalam lakonan penceritaan semula filem klasik Disney Beauty and the Beast, LeFou menunjukkan lebih daripada perasaan persahabatan terhadap watak kacak Gaston. 

Ini telah menggerakkan Biskop Anglikan Rennis Ponniah untuk mengeluarkan surat makluman sebelum filem itu memulakan tayangan sulung di sini pada hari Khamis.

Dalam satu kenyataan yang dimuatkan di laman St. Andrew's Cathedral, Biskop Rennis Ponniah menggesa para paderi untuk memaklumkan kepada jemaat mereka mengenai kandungan homoseksual dalam filem itu.

Biskop Rennis Ponniah
Dia menulis: "Filem-filem Disney untuk hiburan kanak-kanak biasanya dikaitkan dengan nilai-nilai yang sihat dan biasa. Tetapi zaman sedang berubah sehingga menggoncang asas... LeFou digambarkan sebagai gay, dan suatu babak gay diselitkan ke dalam filem itu melalui jalan cerita sampingan.

"Ibu bapa dinasihati memberi bimbingan kepada anak-anak mereka mengenai (filem itu), dan juga pemilihan filem-filem yang ditonton anak-anak mereka dalam zaman yang sedang berubah dengan cepat."

Dia berkata pihak Diosis dan Majlis Kebangsaan Gereja-Gereja akan berusaha menyediakan makluman yang lebih lengkap pada minggu ini mengenai filem itu.

LeFou yang dilakonkan oleh Josh Gad, adalah watak Disney pertama yang gay secara terbuka dan merupakan cara pengarah Bill Condon untuk menambahkan penampilan lesbian, biseksual, gay dan transeksual di layar skrin.

Filem baru itu telah menimbulkan isu di sekeliling dunia.

Sebuah pawagam di Alabama telah mengatakan tidak akan menayangkannya. Di Rusia, hanya mereka yang berusia 16 tahun ke atas dibenarkan menonton filem itu.

Di sini (Singapura), filem itu telah diluluskan oleh pihak berkuasa tanpa disunting. Ianya telah diberi pengkelasan PG untuk beberapa babak mendebarkan dengan beberapa watak dalam keadaan yang merbahaya.



Ahli kaji sosial National University of Singapore, Tan Ern Ser berkata Biskop itu bukan meminta pengharaman filem itu tetapi "meminta jemaatnya untuk menggunakannya sebagai kesempatan mengajar anak-anak mereka mengenai kepercayaan mereka."

Dia memberitahu The New Paper, "Saya percaya kebanyakan orang-orang muda bersikap menerima (terhadap golongan gay) dan akan menganggap babak gay sebagai bukan hal yang besar, sebab ianya memaparkan satu aspek realiti yang wujud dalam masyarakat kita - hakikatnya terdapat orang-orang gay, cinta gay dan perhubungan-perhubungan gay.

"Saya rasa tidak sesiapapun harus menekankan nilai moral mereka ke atas orang lain, tetapi mereka bebas untuk hidup menurut pegangan kepercayaan mereka, dan untuk membesarkan anak-anak mereka di dalamnya."

Perunding pemasaran, Wilfred Chan, 43, berkata dia tidak akan membenarkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun untuk menonton filem itu disebabkan kandungan homoseksual itu adalah bertentangan dengan kepercayaan agamanya.

Ibu suri rumahtangga Jamie Tan, 38, bagaimanapun tidak ada kebimbangan mengenainya.

Tan, yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 9 tahun, berkata: "Ianya merupakan kesempatan yang baik untuk menjelaskan mengenai topik homoseksual kepadanya jika dia terlihat babak itu dan menanya mengenainya." - The Straits Times/Asia News Network

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel The Star Online bertajuk, "Disney's Beauty and the Beast Prompts Advisory From Anglican Bishop In Singapore" yang ditulis oleh Foo Jie Ying bertarikh 13 Mac 2017)

--------------------------

Update 14 Mac 2017: The Star Online melaporkan hari ini bahawa Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia telah meluluskan filem "Beauty and the Beast" untuk penayangan di Malaysia dengan satu penyuntingan kecil. Pengerusi LPF, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid memberitahu The Star Online bahawa filem itu telah diluluskan dengan pengkelasan PG13 (Bimbingan Ibu Bapa). Pengkelasan itu bermaksud bimbingan ibu bapa dikehendaki untuk kanak-kanak di bawah umur 13 tahun. Abdul Halim juga menjelaskan bahawa penyuntingan kecil itu melibatkan babak gay dalam filem itu.

Sementara itu, dua rangkaian pawagam terbesar di Malaysia telah mengumumkan bahawa penayangan filem itu yang telah dijadualkan bermula pada hari Khamis telah ditangguhkan. Pegawai-pegawai Disney belum lagi respon kepada pertanyaan media mengenai perkara ini.

Akan ditayangkan pada 30 Mac
Update 15 Mac 2017: Malay Mail Online melaporkan hari ini bahawa Syarikat Walt Disney telah menarik balik penayangan filem "Beauty and the Beast" di Malaysia kerana tidak ingin menyunting babak yang melibatkan watak gay dalam filem itu. Disney menyatakan dalam satu kenyataan emel: "Filem itu tidak pernah dan tidak akan disunting untuk Malaysia."

Update 21 Mac 2017: New Straits Times melaporkan bahawa Syarikat Walt Disney telah mengesahkan bahawa filem "Beauty and the Beast" akan ditayangkan di Malaysia mulai 30 Mac tanpa suntingan, di bawah pengkelasan PG13. "Jemputlah datang bila filem itu mula ditayangkan di pawagam-pawagam Malaysia pada 30 Mac 2017," kata Disney hari ini.