Rabu, 8 Mac 2017

Kenyataan Akhbar Oleh Susanna Liew, Isteri Pastor Koh


KENYATAAN AKHBAR: UNTUK EDARAN SEGERA

7 Mac, 2017, 10.30 pagi (Petaling Jaya, Selangor)

Kenyataan oleh Susanna Liew Sow Yoke, isteri Pastor Raymond Koh.

Pertama-tamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang telah menunjukkan sokongan kepada saya dan keluarga dalam masa tiga minggu yang lepas sejak penculikan suami saya Pastor Raymond Koh pada 13 Februari, di Petaling Jaya. Kami sangat terharu dengan begitu banyak ungkapan yang mengambil berat dan bersimpati rakyat Malaysia dari semua kaum dan agama. Acara vigil berlilin yang diadakan pada Ahad malam, 5 Mac, di begitu banyak kota berlainan, telah membantu menaikkan semangat kami menghadapi kejadian buruk ini. 

Pada Isnin, 6 Mac, saya dan anak lelaki saya, Jonathan Koh telah bertemu secara tidak rasmi dengan YB Tan Sri Joseph Kurup, Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri. YB Tan Sri Joseph Kurup telah menyatakan rasa kebimbangannya mengenai penculikan suami saya dan rasa simpatinya dengan kami, sebagai sebuah keluarga, dalam pertemuan peribadi dan tidak rasmi ini. Dia meminta agar kami memberi kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk melakukan siasatan. 

Pada hari yang sama, kami juga bertemu dengan ACP Fadzil Ahmat dan pasukan petugas khas yang telah dibentuk untuk menyiasat penculikan suami saya. Pertemuan itu telah berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. ACP Fadzil dan pasukannya telah memberi taklimat kepada saya mengenai penyiasatan mereka setakat ini. Sesudah pertemuan itu, saya merasa lebih terjamin bahawa polis sedang melakukan yang terbaik untuk mencari suami saya, walaupun belum ada petunjuk yang jelas. Saya diyakinkan bahawa polis menganggap ini sebagai kes yang diberi keutamaan, dan telah mengkhususkan ramai pegawai untuk bekerjasama dengan pasukan petugas itu. Oleh kerana penyiasatan ini masih sedang dijalankan, saya meminta agar orang ramai dapat memberi ruang kepada polis untuk melakukan kerja mereka, tanpa spekulasi dan dakwaan yang tidak dapat disahkan. 

Sebaliknya, saya minta anda berdoa untuk kami, merayu bantuan dan petunjuk Tuhan untuk polis melakukan siasatan mereka, supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan secepat mungkin.

Pada masa yang sukar ini, saya mendapat penghiburan dari kesatuan dan sokongan yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia kepada kami sekeluarga. Semoga doa anda yang berterusan akan menguatkan kesungguhan kami untuk terus berpegang pada iman, pengharapan dan kasih, walaupun berhadapan dengan cabaran.