Jumaat, 7 April 2017

Beranakcuculah dan bertambah: Kelahiran Muslim Akan Mengatasi Kelahiran Kristian Menjelang 2035


Untuk kekal sebagai kumpulan agama terbesar dunia, orang-orang Kristian akan perlu memberi perhatian kepada kitab Kejadian dan beranakcucu dan bertambah - bukan saja di ladang misi tetapi juga di kamar tidur.

Kelahiran Kristian akan diatasi oleh kelahiran Muslim dalam masa 20 tahun, menurut unjuran baru yang dikeluarkan hari ini oleh Pew Research Center. Di antara 2030 dan 2035, ibu-ibu Kristian dijangka mengalu-alukan bilangan bayi yang kurang (224 juta) berbanding Islam (225 juta) untuk pertama kali dalam sejarah.

Menjelang 2060, pertumbuhan seperti itu akan mengakibatkan populasi Kristian dan Muslim mencapai kesetaraan - berjumlah 3.1 bilion dan 3 bilion, masing-masing - dengan setiap agama itu mewakili hampir 1 dalam 3 orang di bumi. Dalam jangka waktu 45 tahun itu, populasi Kristian dijangka stabil pada 31%, sementara populasi Muslim dijangka akan meningkat dari 24 peratus hari ini ke tahap yang sama.

Laporan baru ini menambah kepada jangkaan Pew mengenai bagaimana Kristian dan Islam akan berubah menjelang 2050. Ianya juga menambah lebih butiran mengenai impak yang dijangka daripada penukaran agama, yang mana tidak akan mengubah saiz populasi agama sedahsyat kadar kelahiran.

"Di kawasan-kawasan berlainan, anda akan melihat faktor-faktor yang berbeza, tetapi kebanyakan pertumbuhannya adalah melalui kelahiran," kata Bert Hickman, rakan senior kajian di Center for the Study of Global Christianity (CSGC) di Gordon-Conwell Theological Seninary.

Pada waktu kini, keluarga-keluarga Muslim melahirkan lebih anak berbanding mana-mana kumpulan agama di dunia, menurut kajian Pew. Muslim di sekeliling dunia mempunyai purata 2.9 anak; Kristian di tempat kedua dengan 2.6. Tidak ada agama lain yang mempunyai kadar kelahiran yang cukup tinggi untuk bertumbuh lebih cepat daripada populasi keseluruhan. Wanita yang tiada anutan hanya mempunyai 1.6 anak secara purata, dan kumpulan "Tiada Anutan" dijangka mengecil dari 16 peratus populasi global pada 2015 ke 13 peratus pada 2060 oleh kerana itu.

Penemuan-penemuan itu tidaklah menghairankan para pakar. Mereka yang mengkaji demografi agama telah melihat statistik menunjukkan Kristian dan Muslim - bukannya Kristian dan pihak sekular - sebagai dua kumpulan yang paling bertanding untuk bilangan dalam dekad-dekad akan datang.

Tetapi unjuran-unjuran itu mengejutkan sebahagian rakyat Amerika, terutama golongan millenial yang menjangka dunia akan menjadi semakin kurang beragama dan bukan lebih beragama sambil mereka membesar.

Eric Kaufman, pengarang buku tahun 2011, Shall the Religious Inherit the Earth? (Akankah Umat Beragama Mewarisi Bumi?), dengan yakin menjawab ya kepada soalan itu; sememangnya tidak cukup pertumbuhan populasi di kalangan ateis dan yang tiada anutan untuk bersaing dengan kepesatan kelahiran Muslim dan Kristian. Dari 2055 ke 2060, sejauh yang ditunjukkan oleh unjuran itu, kurang daripada 1 bayi dalam 10 yang dilahirkan di planet ini adalah kepada ibu yang tiada anutan agama. Manakala 7 dalam 10 akan dilahirkan kepada samada ibu Muslim atau Kristian.

Terutamanya di Amerika Utara dan Eropah, Kristian telah memperhatikan dengan betul bahawa orang-orang sedang meninggalkan bangku gereja. Dalam beberapa tahun akan datang, penginjilan secara global dijangka akan menghasilkan kehilangan bersih kepada gereja. Lebih kurang 5 juta akan memeluk Kristian di antara 2015 ke 2020, sementara 13 juta akan meninggalkan iman mereka, menurut unjuran Pew. Itu adalah kehilangan terbesar akibat penukaran kepercayaan berbanding mana-mana kumpulan agama yang lain. Kebanyakan mereka akan menjadi golongan "Tiada Anutan".

Berikut adalah bagaimana para pengkaji menjelaskan trend penukaran agama, yang agak sulit untuk dijangka:
Pada waktu ini, data terbaik yang kita ada menunjukkan impak sekeliling dunia untuk hanya penukaran agama, dengan tidak mengambil kira faktor-faktor lain, akan menyebabkan pertambahan yang sedikit dalam jumlah Muslim, pertambahan yang besar dalam bilangan golongan tiada anutan, dan pengurangan besar bilangan Kristian dalam dekad-dekad akan datang. Bagaimanapun secara global, kesan penukaran agama jauh diatasi oleh impak perbezaan dalam kelahiran dan kematian. 

Nota: Pew merujuk kepada anggaran bahawa lebih separuh daripada populasi China adalah tanpa anutan, dan cuma 5 peratus adalah Kristian. Unjurannya tidak termasuk kemungkinan penukaran agama ke Kristian, tetapi para pengkaji mengatakan, "Jika agama Kristian berkembang di China dalam dekad-dekad akan datang - seperti yang diramalkan sebilangan pakar - dengan itu menjelang 2060, bilangan global Kristian mungkin lebih tinggi daripada yang diunjurkan, dan penurunan dalam peratusan dunia untuk golongan tiada anutan akan lebih tajam daripada yang diunjurkan."

(Dipetik dan diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christianity Today bertajuk, "Be Fruitful dan Multiply: Muslims Birth Will Outnumber Christian Births By 2035" yang ditulis oleh Kate Shellnutt bertarikh 5 April 2017)