Rabu, 26 April 2017

Megachurch City Harvest Menghantarkan Pastor Kong Hee Ke Penjara, Berjanji Teruskan Pelayanan Selepas 'Trauma'

Kong Hee dan isterinya, Sun Ho tiba di Mahkamah Tinggi Singapura pada 2015 (Foto Reuters)

City Harvest Church, Singapura, salah satu gereja mega terbesar di negara itu, telah berjanji akan meneruskan mengikuti tujuan Tuhan sambil pengasas dan senior pastornya, Kong Hee, memulakan hukuman penjaranya untuk tiga tahun setengah Jumaat lalu.

"Sebagai hamba Tuhan, dia tidak sempurna, tetapi saya memilih menerima kemanusiaan yang ada padanya - kekuatannya, kelemahannya, ketidaksempurnaan dan kesilapannya. Pada masa yang sama, saya memilih mengasihi dan menghormatinya untuk panggilan yang Tuhan telah letak dalam hidupnya dan juga atas hakikat bahawa dia telah dipanggil - dan masih dipanggil - untuk menjadi pastor senior kami," kata penterjemah bahasa Cina CHC, Chiong Xiao Ting, dalam laporan untuk City News pada Jumaat.

Kong, bersama dengan Pastor Tan Ye Peng, bekas anggota lembaga John Lam, dan bekas pengurus kewangan Serina Wee dan Sharon Tan telah didapati bersalah dan disabit kesalahan pada 2015 menyalahgunakan hampir $35 juta dana untuk karier bintang pop isteri Kong yang juga pastor CHC, Sun Ho.

Para tertuduh telah berhujah membela diri mereka dan menegaskan bahawa wang itu telah digunakan sebagai sebahagian usaha CHC untuk mengembangkan Injil melalui muzik Ho, dan walaupun pada April, hukuman penjara mereka telah dikurangkan, Mahkamah Tinggi Singapura enggan untuk menterbalikkan keputusan bersalah mereka.

Laporan City News itu memuatkan beberapa kesaksian daripada beberapa orang yang telah bekerja bersama-sama dengan Kong, atau telah tersentuh oleh khutbahnya, dengan ahli-ahli gereja berjanji untuk meneruskan walaupun sudah melalui trauma tujuh tahun perbicaraan mahkamah.

"Kes sepanjang tujuh tahun itu kemungkinan adalah peristiwa paling traumatik yang telah dialami gereja secara bersama," kata Sharmaine Loh, 31, seorang ahli psikologi klinikal.

"Pertamanya saya merasa sedih untuk mereka yang telah meninggalkan gereja akibat dari kecelaruan, kekecewaan dan rasa marah. Untuk mereka yang masih bersama gereja, ramai yang rasa letih dan telah pun menunggu seluruh kes itu berakhir," kata Loh.

"Selain daripada perasaan kacau yang dialami secara dalaman oleh setiap ahli, kami juga telah terpaksa berhadapan dengan tekanan dari luar dalam bentuk soalan, penghakiman dan penghinaan terbuka daripada orang-orang awam, rakan-rakan sekerja, kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga," tambahnya.

Loh mengakui bahawa kes mahkamah itu "adalah musim yang sangat mencabar dan menyakitkan bagi kami sebagai sebuah gereja," dan berdoa "agar Tuhan akan menyembuhkan luka-luka kami dan membawa pemulihan hubungan kepada gereja."

Foo Chay Yeow, 27, seorang guru sepenuh masa, berkata dia tidak dapat menyalahkan ahli-ahli gereja yang mengambil keputusan untuk beredar pergi kerana skandal itu.

"Secara jujur saya tidak dapat menyalahkan mereka yang telah memilih untuk pergi; mereka ada hak untuk merasa kecewa dan tertipu. Gereja mungkin tidak bermaksud perkara itu terjadi seperti itu, tetapi saya fikir harus ada lebih kebertanggungjawapan," kata Foo.

"Kami telah memilih untuk mengikuti halatuju gereja, jadi gereja seharusnya mempercayai kami dengan mendedahkan cara mereka melakukan sesuatu."

Begitupun, dia menggesa mereka yang masih di gereja untuk bergabung bersama, dan berkata satu kesan positif daripada perbicaraan itu adalah CHC kini lebih "memusatkan kepada dasar kasih dan kurang bersifat keundangan (legalistic) berbanding dahulu."

Karen Yeow, seorang perunding kewangan, yang berusia 40an dan sudah lama menjadi anggota CHC, berkata meskipun segala hal yang telah terjadi, gereja mesti meneruskan perjalanan.

"Kita mesti meneruskan kehidupan kita. Kemudian gereja dapat meneruskan perjalanannya. Inilah waktu untuk kita menguatkan diri dan bangkit untuk menyokong kepimpinan dan satu sama lain. Kita menguatkan diri kita dalam Tuhan dan percaya bahawa segala sesuatu bekerja untuk kebaikan bagi mereka yang mengasihi-Nya."

Straits Times telah melaporkan pada hari Jumaat bahawa lima pemimpin CHC yang disabit kesalahan dan yang sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Changi. akan dibenarkan mengikuti kebaktian (di penjara) yang diatur oleh gereja-gereja lain, tetapi bukan yang diatur oleh CHC.

"Dengan kelakuan baik, Kong Hee seperti juga mereka yang lain, boleh mendapat pengurangan satu pertiga, dari tempoh pemenjaraannya. Ini bererti tempoh dia dipenjarakan boleh dikurangkan ke 28 bulan. Dia mungkin juga boleh melayakkan diri untuk tahanan di rumah untuk penghujung hukuman penjaranya, dan secara realiti menjalani dua tahun dalam penjara," kata artikel itu.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel The Christian Post bertajuk, "City Harvest Megachurch Sees Off Pastor Kong Hee To Prison, Vows To Carry On Following 'Trauma'" yang ditulis oleh Stoyan Zaimov bertarikh 24 April 2017)