PETALING JAYA: Hari ini menandakan hari ke-100 penculikan Pastor Raymond Koh (foto) dengan polis masih belum dapat menyelesaikan kes itu. Pada pagi 13 Februari, pastor berusia 62 tahun itu telah diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng kurang 100 meter dari kompleks perumahan polis di SS4 Kelana Jaya, Rakaman video dari CCTV di kawasan itu menunjukkan tujuh kenderaan, termasuk tiga kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam, memaksa keretanya berhenti di tengah jalanraya.
Pemandu-pemandu itu kemudiannya menggunakan kenderaan-kenderaan mereka untuk menghadang kereta Koh daripada melepaskan diri.
Beberapa daripada lelaki bertopeng itu dilihat meluru ke kereta Koh sementara rakan-rakan mereka, termasuk sekurang-kurangnya dua orang di atas motorsikal, memastikan tiada orang berdekatan yang campur tangan.
Kurang dari seminit kemudian, Koh kelihatan telah dikuasai, dan keretanya dengan nombor pendaftaran ST5515D kelihatan dipandu pergi, dengan penculik-penculik lain mengikuti dengan cepat.
100 hari sudah berlalu, keluarga Koh, anggota-anggota gerejanya, orang-orang awam dan juga polis masih tidak ada maklumat mengenai keberadaannya mahupun identiti penculik-penculiknya.
Polis telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat penculikan itu tetapi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bahawa siasatan telah diganggu oleh liputan akhbar.
Ketika dihubungi oleh theSun, Ketua CID Selangor, SAC Fadzil Ahmat, yang mengetuai pasukan petugas itu berkata polis sedang bekerja keras dalam kes itu. Walau bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut.
"Hakikat bahawa Koh telah kehilangan selama 100 hari adalah situasi yang membimbangkan rakyat Malaysia," kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa.
"Ini membawa persoalan berkenaan keselamatan (negara) kita. Untuk seseorang diculik dengan terang-terangan pada siang hari dan polis belum lagi menemukan satu pun petanda mengenai kehilangannya adalah agak membimbangkan. Sepatutnya pada waktu ini polis harus sudah tahu apa yang telah berlaku kepadanya," katanya.
Pada bulan Mac, apa yang kelihatan satu petanda yang dapat dipercayai telah muncul apabila seorang pemandu teksi telah ditangkap oleh polis berkaitan pencullikan itu.
Bagaimanapun, suspek itu didapati sedang cuba memeras ugut keluarga pastor itu dan tidak terlibat dalam insiden itu.
Sehingga hari ini, tidak ada tuntutan untuk wang tebusan bagi pelepasan Koh. Keluarganya telah menawarkan ganjaran RM100,000 untuk maklumat mengenai keberadaannya.
Telah dilaporkan bahawa Koh dan organisasi bukan kerajaannya "Harapan Komuniti", telah dituduh cuba menukar kepercayaan orang-orang Muslim, berikutan serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor di satu majlis makan malam kesyukuran pada 2011.
Beribu-ribu rakyat Malaysia telah berkumpul untuk acara berjaga-jaga berlilin di sekeliling negara dalam bulan-bulan sejak penculikannya.
"Sejak dia telah diambil dari kami, saya dan anak-anak saya telah bertukar-tukar perasaan kaku, kecewa, harapan, sedih, takut dan marah," kata isterinya Susannah Liew.
Menambah berat lagi adalah kekecewaan bahawa tidak ada petanda jelas dalam usaha mencarinya, tambahnya.
Lebih banyak lagi acara berjaga-jaga berlilin telah dirancangkan sehingga kepulangan Koh sambil seluruh negara berharap dan berdoa agar dia dapat ditemukan dalam keadaan selamat.
(Dipetik dan diterjemah daripada artikel The Sun bertajuk "100 Days... And Still Missing" yang diutlis oleh Timothy Achariam bertarikh 23 Mei 2017)