Selasa, 16 Mei 2017

'Agenda Kristian': Speaker Adukan Pensyarah Pada Polis


Speaker Selangor Hannah Yeoh hari ini membuat laporan polis terhadap seorang pensyarah kerana mendakwanya mahu membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian.

Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya berkata tulisan itu diputar belit dan mempunyai unsur fitnah pada beliau dan partinya DAP.

“Kenyataan Facebook tersebut bersifat prasangka jahat dan jelas berniat untuk menyebarkan kebencian terhadap diri saya, pemimpin-pemimpin DAP yang dinamakan dalam kenyataan tersebut dan parti DAP.

“Kenyataan tersebut menimbulkan risiko yang tinggi terhadap keselamatan saya dan ahli-ahli DAP,” laporan polis itu dipetik.

Berbaju kurung hijau, Yeoh membuat laporan itu di Subang Jaya petang ini bersama penyokongnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa.


Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Yusoff lima hari lalu memuat naik tulisan bertajuk “Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP” di Facebook, yang setakat berita ini ditulis telah dikongsi lebih 350 pengguna maya.

Beliau mendakwa, ketika DAP melaung-laungkan prinsip sekularisme, Yeoh dalam biografinya Becoming Hannah (Menjadi Hannah) mengaku penglibatannya dalam politik dibantu oleh pihak Kristian.

Malah, dakwa Kamarul, Yeoh menggunakan kedudukan politik untuk berdakwah mengenai agama Kristian.

“Lebih dari itu, beliau juga menyeru ahli-ahli Felo Kristian Seberang Laut khususnya dan penganut agama Kristian umumnya untuk mengikut jejak langkah beliau menceburkan diri dalam bidang politik untuk membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian.

“Jelas berdasarkan kepada segala pengakuan terbuka Hannah Yeoh ini maka peri pentingnya prinsip sekularisme dalam perjuangan politik DAP adalah satu hipokrasi semata-mata,” katanya.

Kamarul memetik beberapa petikan dalam buku itu bagi menguatkan hujahnya, antaranya yang menyebut Yeoh mendedikasikan hidupnya untuk Tuhan (halaman 23), mengukur dirinya sebagai “child of God” (halaman 89) dan mendedahkan impiannya sebelum ini untuk menjadi mubaligh (halaman 108).

Kamarul sedia kemuka bukti

Kamarul ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan tulisan itu benar-benar karyanya dan mengambil tanggungjawab penuh ke atasnya.

Kamarul Yusoff, pensyarah Universiti Utara
Malaysia (UUM) - Foto Malaysiakini
"Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberikan penjelasan kepada mana-mana pihak, termasuk kepada polis, atau di mana saja, termasuk di mahkamah, sekiranya diperlukan."

"Saya akan mengemukakan bukti berkaitan dan bukti-bukti lanjut yang belum didedahkan mengenai agenda Kristianisasi beliau dalam bidang politik,” katanya.

Sementara itu, Yeoh juga berkata kenyataan Kamarul itu kini telah menjadi tular dan digunakan lebih sepuluh penerbitan berita, termasuk organ PAS Harakahdaily dan akhbar Umno Utusan Malaysia.

Dalam laporan itu, beliau menegaskan bahawa tulisannya dalam Becoming Hannah tidak merujuk kepada prinsip dan perjuangan DAP.

Justeru, katanya, membuat tuduhan terhadap DAP berdasarkan beberapa petikan dalam bukunya itu tidak berasas dan amat tidak bertanggungjawab.

Kisah peribadi

Sementara itu, dalam kenyataannya selepas itu, Hannah berkata buku itu memaparkan kisah peribadi dan kerana itu diberi tajuk Becoming Hannah, bukan Becoming DAP (Menjadi DAP) atau Becoming a Christian (Menjadi Seorang Kristian).

Berkaitan isu sekularisme, beliau menegaskan ia adalah konsep yang memisahkan kuasa dan pentadbiran daripada institusi agama dan “bukannya menolak agama”.

“Negara sekular ialah sebuah negara yang mempunyai pemerintah yang mengiktiraf dan menghormati hak rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan daripada mana-mana pihak berkuasa,” katanya.

DAP juga katanya hanya “mempunyai agenda Malaysia, dan bukanlah agenda Kristian”.

Mengulas berkaitan agamanya, Yeoh berkata beliau memegang nilai-nilai baik berdasarkan kepercayaan kepada tuhan, seperti percaya kepada kedaulatan undang-undang, keadilan, ketelusan, kesaksamaan dan tadbir urus yang baik.

“Saya yakin bahawa nilai ini ialah nilai-nilai yang universal dan dikongsi oleh setiap rakyat Malaysia,” katanya.

“Harapan yang telah saya luahkan dalam buku saya ialah dengan mengimpikan lebih ramai rakyat Malaysia yang taat beragama dapat kembali ke tanah air dan berbakti kepada negara sementelah masalah aliran keluar kepandaian atau brain drain ini masih lagi merupakan masalah besar negara.”

Yeoh mendakwa terdapat manipulasi sentimen kaum dan agama menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi dan menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo untuk meneliti tindakan undang-undang.

Tonton video kenyataan penuh Hannah Yeoh:

  
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "''Agenda Kristian': Speaker Adukan Pensyarah Pada Polis" bertarikh 15 Mei 2017)